KUALA LUMPUR: Bidang kejurulatihan menjadi tumpuan Lee Hup Wei selepas jaguh lompat tinggi negara itu mengumumkan persaraannya hari ini.
Hup Wei, yang pernah meraih empat pingat emas di temasya Sukan SEA berkata, sudah tiba masanya untuk dirinya mengundurkan diri apatah lagi usianya kini semakin meningkat sekali gus memberi ruang buat barisan pelapis menonjolkan bakat mereka.
"Badan saya juga sudah mencapai tahap maksimum dan proses pemulihan juga sangat perlahan," kata atlet berusia 34 tahun itu dalam satu sidang media mengenai persaraannya, hari ini.
"Jadi saya rasa lebih baik untuk memikirkan perkara di hadapan dan menjadi jurulatih. Mungkin saya boleh membawa atlet muda meraih pencapaian lebih baik selepas ini."
Mengulas lanjut mengenai persaraannya, Hup Wei berkata, dia sebenarnya sudah lama memikirkan untuk bersara dan bercadang untuk mengumumkannya selepas Sukan SEA Vietnam, Mei ini.
"Saya tidak terpilih ke Sukan SEA Vietnam (tidak melepasi had kelayakan pemilihan), jadi saya fikir inilah masa paling sesuai. Selepas ini, saya boleh memikirkan perkara lain seperti bercuti dan kemudian mula memberi tumpuan kepada bidang kejurulatihan.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak termasuk keluarga, jurulatih, KBS (Kementerian Belia dan Sukan), MSN (Majlis Sukan Negara) dan MOM (Majlis Olimpik Malaysia) kerana sentiasa memberikan sokongan sepanjang karier saya," katanya yang mahu menjadi jurulatih bagi atlet pelapis negara.
Jaguh lompat tinggi negara Lee Hup Wei hari ini mengumumkan persaraannya selepas 18 tahun menabur bakti dalam sukan olahraga dengan rekod satu pingat emas Kejohanan Asia, empat pingat emas Sukan SEA serta tiga penampilan di temasya Sukan Olimpik.
Ahmad Nazrin | BERNAMA pic.twitter.com/qACeXXZZ2h— BERNAMA (@bernamadotcom) March 27, 2022
Sepanjang 18 tahun kariernya sebagai atlet, Hup Wei sudah beraksi di tiga temasya Sukan Olimpik (Beijing 2008, London 2012 dan Tokyo 2020), menjadi atlet olahraga pertama negara layak beraksi di final Kejohanan Dunia dan muncul juara Kejohanan Asia pada 2007.
Atlet dari Kajang, Selangor itu turut pernah beraksi sebanyak tiga kali di Sukan Asia dan dua kali di Sukan Komanwel.