Sabtu, 19 March 2022 | 10:46am
Jonathan Nyepa (kiri) memenangi pingat emas acara 100 meter manakala perak Muhammad Zulfiqar Ismail (kanan) dan gangsa, Mohamad Raimi Mustaffa (dua dari kanan) pada Kejohanan Sirkit Olahraga IPT 2022 di Stadium Olahraga, Kompleks Sukan Negeri Johor, Mount Austin, Johor. NSTP/NUR AISYAH MAZALAN
Jonathan Nyepa (kiri) memenangi pingat emas acara 100 meter manakala perak Muhammad Zulfiqar Ismail (kanan) dan gangsa, Mohamad Raimi Mustaffa (dua dari kanan) pada Kejohanan Sirkit Olahraga IPT 2022 di Stadium Olahraga, Kompleks Sukan Negeri Johor, Mount Austin, Johor. NSTP/NUR AISYAH MAZALAN

Jonathan, Zaidatul Husniah tepati ramalan

JOHOR BAHRU: Jaguh pecut, Jonathan Nyepa dan Zaidatul Husniah Zulkifli menepati ramalan apabila muncul sebagai raja dan ratu pecut Kejohanan Olahraga IPT 2022 Sirkit 1, malam tadi.

Jonathan yang mewakili Universiti Putra Malaysia (UPM) meraih emas dalam acara 100 meter apabila mencatatkan 10.51saat(s), catatan peribadi terbaiknya tahun ini.

Pada Kejohanan Olahraga Perak All-Comers Februari lalu, Jonathan mencatatkan masa 10.64s dan meraih perak.

Dalam kejohanan berlangsung di Stadium Olahraga Mount Austin, di sini, Jonathan menewaskan rakannya, Muhammad Zulfiqar Ismail (UPM) yang meraih perak dengan 10.64s manakala wakil Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Mohamad Raimi Mustaffa mencatat 10.89s untuk gangsa.

Sementara itu, jaguh pecut wanita negara, Zaidatul Husniah yang mewakili UPM, turut meraih emas dalam acara 100 meter wanita akhir.

Beliau mencatatkan masa 11.89 saat, bersaing sengit dengan dua lagi wakil UPM iaitu Azreen Nabila Alias, yang meraih perak (11.90s) manakala Nor Sarah Adi, gangsa (12.10s).

Namun catatan Zaidatul Husniah yang juga pemenang pingat emas Sukan Universiti Asean 2016 dalam acara 100m itu, jauh daripada masa terbaik peribadinya iaitu 11.59s yang dicatatkan di Weinheim, Jerman pada 2018.

Sementara itu, Jonathan yang ditemui berkata, Kejohanan Olahraga IPT adalah landasan terbaik bagi mencungkil bakat olahraga pelajar institusi pendidikan tinggi negara ini.

Katanya, beliau menjadikan kejohanan itu sebagai platform untuk memperbaiki catatan peribadinya dalam acara 100m.

"Setakat hari ini, saya puas hati dengan catatan masa larian tadi kerana tidak menyangka mampu mencatat masa 10.51s.

"Sasaran tahun ni adalah untuk Sukan SEA Hanoi dengan latihan setakat ini berjalan lancar," katanya.

Zaidatul Husniah juga bersetuju kejohanan itu adalah landasan terbaik mencari bakat baharu olahraga negara.

Katanya, beliau menyertai kejohanan itu sebagai persediaan dan memperbaiki catatan masanya selepas pulih daripada pembedahan lutut 'anterior cruciate ligament (ACL) yang dijalaninya pada 2020.

"Macam saya persiapan saya memang ambik jangka panjang. Sebab saya sebelum ini menjalani prosedur ACL, jadi tempoh pemulihan tu memang sangat panjang. Ambil masa lebih kurang dua tahun juga.

"Sasaran saya mahu perbaiki catatan masa tahun ini dengan menyertai seberapa banyak kejohanan.Jadi ini adalah permulaan yang baik untuk saya menyertai kejohanan-kejohanan akan datang," katanya.

Berita Harian X