Jumaat, 18 March 2022 | 7:22pm
Gambar fail - Aksi Rayzam Shah Wan Sofian dalam satu kejohanan sebelum ini. - Foto NTSP/Yazit Razali.
Gambar fail - Aksi Rayzam Shah Wan Sofian dalam satu kejohanan sebelum ini. - Foto NTSP/Yazit Razali.

Rayzam sasar rampas semula emas Sukan SEA

KUALA LUMPUR: Atlet lari berpagar 110 meter (m) negara, Rayzam Shah Wan Sofian mahu mengakhiri kerjayanya dengan noktah kejayaan apabila menyasarkan untuk merampas kembali pingat emas pada penampilan terakhir di Sukan SEA Hanoi di Vietnam, Mei ini.

Rayzam yang bakal mengumumkan persaraannya selepas tamat temasya dwitahunan itu, berkata biarpun keputusan ketika Terbuka Malaysia, dua minggu lalu kurang 'menyengat' dia optimis mampu menyumbangkan kejayaan buat kontinjen negara.

Katanya, dia ketika ini giat mempertingkatkan lagi kualiti larian kerana sedar akan berdepan dengan cabaran lebih getir daripada atlet negara lain.

"Saya masih lagi mempunyai matlamat atau impian iaitu mahu merampas kembali pingat emas yang sepatutnya dimenangi pada 2019.

"Walaupun menyedari berdepan cabaran getir terutama kekurangan kejohanan kompetitif berikutan pandemik Covid-19, tempoh masa yang ada mampu memperbaiki kualiti larian seterusnya mencapai sasaran pada temasya itu.

"Berkaitan prestasi pula, pada Terbuka Malaysia baru-baru ini bukanlah ukuran sebenar kerana ada masalah lain terutama keadaan cuaca dan perkara itu akan diperbaiki lagi pada sesi latihan," katanya.

Pada Sukan SEA Manila 2019, Rayzam gagal mempertahankan emas yang dimenangi dua tahun sebelum itu di Kuala Lumpur apabila sekadar meraih perak.

Biarpun mencatat masa yang sama iaitu 13.97 saat (s) dengan pemenang emas dari Filipina, Clinton Kingsley Bautista, Rayzam terpaksa akur apabila mereka dipisahkan menerusi keputusan 'photo finish'.

Selain edisi 20017, atlet kelahiran Keningau, Sabah itu turut memenangi emas pada Sukan SEA Korat 2007.

Berita Harian X