Rabu, 16 March 2022 | 8:17pm
 Atlet kebangsaan, Shereen Samson Vallabouy meraikan kejayaan memenangi acara 400m pada kejohanan NCAA di Kansas, AS, Sabtu lalu. - Foto ihsan Instagram Shereen Samson Vallabouy.
Atlet kebangsaan, Shereen Samson Vallabouy meraikan kejayaan memenangi acara 400m pada kejohanan NCAA di Kansas, AS, Sabtu lalu. - Foto ihsan Instagram Shereen Samson Vallabouy.

Shereen permata baharu olahraga negara

KUALA LUMPUR: Atlet kebangsaan, Shereen Samson Vallabouy yang cemerlang pada Kejohanan Trek dan Padang Dalam Dewan Divisyen II National Collegiate Athletic Association (NCAA) di Kansas, Amerika Syarikat, Sabtu lalu, kini boleh dianggap sebagai permata baharu sukan olahraga negara.

Ketua Jurulatih olahraga kebangsaan, Mohd Manshahar Abdul Jalil menyifatkan kejayaan Shereen memecahkan rekod kebangsaan 54.58 saat (s) milik Noraseela Mohd Khalid dicatat 16 tahun lalu di Jerman, dengan catatan 53.79s untuk menjuarai acara 400 meter (m) dalam dewan itu, sebagai pencapaian sensasi dan membanggakan.

Sekiranya mampu mengekalkan prestasi serta lariannya pada masa akan datang, Mohd Manshahar percaya atlet berusia 24 tahun itu yang sedang menuntut dalam bidang rekreasi dan pelancongan di Winona State University sejak 2019, boleh memecahkan rekod kebangsaan 400m luar dewan milik Allahyarham Rabia Abdul Salam yang dilakar pada 1993 di Filipina.

"Itu satu kemungkinan besar (pecah rekod kebangsaan 400m) kerana pertandingan dalam dan luar dewan tidak sama. Kebiasaannya masa akan lebih pantas bagi acara luar dewan disebabkan pelari hanya perlu berlari satu pusingan dan dua selekoh.

"Jika dalam dewan yang mempunyai jarak 200m bagi satu pusingan, pelari perlu banyak mengawal kecondongan badan kerana perlu berlari dua pusingan dan empat selekoh. Semua itu bergantung kepada usaha selain latihan mencukupi untuk Shereen memecahkan rekod Rabia," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Selain menjuarai acara final dalam Divisyen II NCAA, anak bongsu kepada pasangan bekas pelari negara, Samson Vallabouy dan Josephine Mary Singarayar, itu juga mendominasi peringkat kelayakan apabila muncul atlet terpantas dengan catatan 53.88s.

Mohd Manshahar yang sentiasa memantau perkembangan Shereen, berkata pemenang pingat gangsa 400m Sukan SEA 2015 di Singapura itu bertuah dapat 'berguru' di Amerika Syarikat dengan dikelilingi atlet hebat serta dapat menyertai pertandingan kompetitif yang mampu meningkatkan tahap lariannya.

Beliau juga memaklumkan Shereen berpotensi untuk beraksi pada Sukan Komanwel di Birmingham, England pada 28 Julai hingga 8 Ogos ini, serta Sukan Asia di Hangzhou, China dari 10 hingga 25 September sekiranya dapat menampilkan larian cemerlang selain melepasi had masa kelayakan ditetapkan.

"Shereen perlu melepasi had kelayakan ke Sukan Komanwel iaitu di bawah 52s manakala Sukan Asia di bawah 53s," katanya.

Beliau pada masa sama menjelaskan Shereen tidak dapat membawa cabaran negara di Sukan SEA Hanoi di Vietnam pada 12 hingga 23 Mei ini kerana difahamkan atlet itu akan menjalani peperiksaan di universitinya ketika temasya dwitahunan itu berlangsung.

Dalam pada itu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengucapkan tahniah kepada Shereen kerana berjaya memecah rekod kebangsaan dalam penampilannya di Divisyen II NCAA.

"Tahniah juga kepada ahli keluarga, khasnya ibu bapanya Josephine Mary dan Samson Vallabouy yang merupakan bekas atlet negara atas sokongan kuat kepada Shereen. Semoga kejayaan Shereen menjadi inspirasi kepada semua atlet. Syabas #MalaysiaBoleh #DemiMalaysia," katanya dalam ciapan menerusi akaun Twitter miliknya, hari ini.

- BERNAMA

Berita Harian X