Khamis, 10 Februari 2022 | 5:54pm
Gambar fail - Presiden Persatuan Olahraga Selangor (POS), Datuk SM Muthu. - Foto NSTP/Eizairi Shamsudin.
Gambar fail - Presiden Persatuan Olahraga Selangor (POS), Datuk SM Muthu. - Foto NSTP/Eizairi Shamsudin.

Muthu minta semua hormati keputusan PJS isu POS

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Olahraga Selangor (POS), Datuk SM Muthu sedia untuk mengadakan perbincangan dengan semua pihak bagi menyelesaikan kemelut yang melanda badan induk itu.

Beliau memohon semua pihak untuk menghormati kenyataan Pesuruhjaya Sukan (PJS), Ibrahim Mohd Yusof yang mendapati pemilihan kepimpinan baharu dalam mesyuarat agung tahunan (AGM) pada 12 Disember lalu adalah tidak sah.

Katanya, pihaknya akan mengadakan AGM kelak dengan semua pihak boleh memilih kepimpinan baharu sekali gus merungkai segala kecelaruan yang berlaku dalam POS.

"Sekarang ini semua tertanya-tanya siapa yang betul atau salah…Saya tidak mahu cakap soal itu kerana mereka seharusnya tunggu sehingga kita membuat mesyuarat (AGM).

"PJS sudah kata AGM yang diadakan pada 12 Disember lalu tidak sah. PJS juga ada memberi cadangan sebelum ini namun pihak berkenaan tidak mahu ikut," katanya yang juga Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM).

Semalam, Ibrahim menerusi laporan Bernama, berkata selepas pihaknya melakukan semakan terhadap laporan dan dokumen berkaitan AGM yang diadakan pada 12 Disember lalu mendapati proses pelaksanaan dan perjalanan mesyuarat berkenaan adalah bercanggah atau tidak mematuhi perlembagaan persatuan berkenaan.

Sementara itu, Norhayati Karim yang dipilih sebagai Presiden POS yang baharu ketika AGM berkenaan ketika dihubungi, berkata pihaknya akan memberikan kenyataan berhubung situasi terbaru itu dalam masa terdekat.

Berita Harian X