Selasa, 1 Februari 2022 | 3:30pm
Gambar fail - Jaguh lontar tukul besi negara, Jackie Wong Siew Cheer.
Gambar fail - Jaguh lontar tukul besi negara, Jackie Wong Siew Cheer.

Jackie tak mahu dirundung kecewa lagi

KUALA LUMPUR: Kegagalan mempertahankan pingat emas pada Sukan SEA 2019 di Manila, Filipina masih menghantui jaguh lontar tukul besi negara, Jackie Wong Siew Cheer.

Walaupun sudah lebih dua tahun berlalu, Jackie yang kecewa dengan keputusan ketika itu, kini tekad untuk melakukan yang terbaik bagi merampas kembali emas di Sukan SEA Hanoi, Vietnam pada 12 hingga 23 Mei ini.

"Semestinya saya memang kecewa namun saya harap dapat ambil balik emas," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Jackie, 29, yang merangkul emas pada Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur terpaksa berpuas hati dengan pingat perak di Filipina sekali gus menyaksikan atlet Thailand, Kittipong Boonmawan muncul juara acara itu.

Selain Sukan SEA, pemegang rekod kebangsaan dengan catatan 67.01 meter (m) yang dilakukan ketika Kejohanan Olahraga Asia 2019 di Qatar juga berharap dapat melayakkan diri ke Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China pada 10 hingga 25 September ini.

Atlet dari Sarawak itu membuat penampilan sulung di Sukan Asia pada edisi 2018 di Indonesia yang menyaksikannya menamatkan cabaran di tangga ketujuh kesuluruhan.

Selain itu, Jackie mengakui situasi pandemik COVID-19 yang belum reda sedikit sebanyak menjejaskan prestasinya susulan tiada aksi antarabangsa disertai selepas kali terakhir beraksi di Sukan SEA 2019.

"Namun, saya masih yakin kepada diri saya untuk melakukan yang terbaik di Hanoi nanti," katanya.

- BERNAMA

Berita Harian X