Jumaat, 21 Januari 2022 | 7:11pm
Gambar fail - Presiden Persatuan Olahraga Perak (POP), Datuk Karim Ibrahim.
Gambar fail - Presiden Persatuan Olahraga Perak (POP), Datuk Karim Ibrahim.

1,000 dijangka sertai Olahraga Perak All-Comers

KUALA LUMPUR: Atlet yang digugurkan daripada program latihan sepenuh masa tahun ini berpeluang untuk membuktikan semula kemampuan mereka menerusi Kejohanan Olahraga Perak All-Comers yang dijadualkan berlangsung pada 26 dan 27 Februari ini.

Presiden Persatuan Olahraga Perak (POP), Datuk Karim Ibrahim berkata atlet yang digugurkan daripada program latihan kebangsaan perlu menggunakan peluang ini untuk membuktikan kepada Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) bahawa mereka sebenarnya layak untuk berada di dalam program.

"Saya menjangkakan lebih dari 1,000 atlet akan menyertai kejohanan ini dan kami membuka penyertaan kepada seluruh atlet yang ingin mengambil bahagian tak kiralah atlet sekolah atau sebagainya.

"Penganjur akan menyediakan kemudahan terbaik untuk peserta dan catatan masa elektronik akan digunakan supaya tiada pihak yang boleh mempertikaikan keputusan nanti," katanya.

Selain Perak All-Comers, POP turut merancang untuk menganjurkan dua lagi kejohanan tahun ini iaitu Terbuka Perak dan Perak All-Comers II.

Ia adalah sebahagian daripada inisiatif POP kepada atlet tempatan menyertai lebih banyak pertandingan dalam usaha mereka melayakkan diri ke temasya Sukan Sea Vietnam pada Mei ini.

Berita Harian X