Selasa, 18 Januari 2022 | 9:12pm
Gambar fail - Pelari pecut wanita negara, Azreen Nabila Alias ketika menyertai temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Gambar fail - Pelari pecut wanita negara, Azreen Nabila Alias ketika menyertai temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Azreen wajar dihantar berlatih di luar negara

KUALA TERENGGANU: Bekas raja pecut negara dan Asia Tenggara, Nazmizan Muhammad berkata pelari pecut wanita negara, Azreen Nabila Alias wajar diberikan peluang berlatih di luar negara bagi memantapkan lagi lariannya.

Nazmizan yang kini menjawat jawatan Ketua Penolong Setiausaha Kanan Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar, Kementerian Pengajian Tinggi berkata atlet kelahiran kampung Saujana, Setiu itu mempunyai potensi cerah menjadi wanita terpantas negara dan Asia.

"Sudah tiba masanya Azreen dihantar menjalani latihan di luar negara sambil belajar seperti pelumba trek berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang. Latihan di luar negara itu penting sebagai persiapan menjelang Sukan Asia, Sukan SEA dan Sukan Komanwel ketika usianya semakin matang.

"Selain Azreen, pelari lain juga wajar diberi pendedahan berlatih di luar negara sebagaimana atlet terdahulu bagi meneruskan kesinambungan dalam sukan itu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, Nazmizan yang juga pemerhati sukan berkata Majlis Sukan Negara (MSN) perlu ada hala tuju dan sasaran yang realistik kepada atlet berkenaan dan atlet lain yang berpotensi mengharumkan nama negara.

"Selain pentas ASEAN dan Asia, saya berpandangan jika hantar Azreen menjalani latihan di luar negara ia juga memberi peluang kepadanya mengintai kejayaan di pentas dunia sekali gus mampu mencipta sejarah buat negara.

"Bagaimanapun MSN perlu mencari tempat latihan yang bersesuaian seperti di Amerika Syarikat, Kanada ataupun Jerman dengan membawa sekali jurulatih dalam tempoh yang lama dan bukan hanya tiga empat bulan sahaja. Lagi pun tahap pertandingan di sana adalah tinggi berbanding tempat lain.

"Sebagai contoh pengalaman saya berguru di AS lebih tiga bulan, tahapnya terlalu tinggi walaupun kejohanan tempatan. Jadi ianya boleh membantu Azreen dan atlet lain untuk bersaing dengan pelari di sana.

"Lagipun Azreen adalah permata berharga dan begitu berbakat. Jadi rugi pelari seperti itu jika tidak diasuh dengan sempurna," kata bekas pelari pecut kelahiran kampung Durian Mentangau, Dungun itu.

Pada temasya Sukan Olimpik 2020 di Tokyo tahun lalu, penuntut Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi itu mencetuskan sensasi dalam pusingan kelayakan acara larian 100 meter (m) apabila berjaya merakam catatan masa 11.77 saat (s) sekali gus menamatkan saingan di tempat kedua.

Namun pada pusingan pertama kejohanan terbesar dunia itu, Olahragawati Sukan Malaysia (SUKMA) 2018 di Perak gagal mengulangi pencapaian berkenaan apabila merakam catatan masa 11.91s.

Berita Harian X