Isnin, 10 Januari 2022 | 7:07pm
Gambar fail - Jaguh lempar cakera kebangsaan, Muhamad Irfan Shamsuddin dalam satu kejohanan sebelum ini.
Gambar fail - Jaguh lempar cakera kebangsaan, Muhamad Irfan Shamsuddin dalam satu kejohanan sebelum ini.

Irfan tekad pertahan emas Sukan SEA Vietnam

KUALA LUMPUR: Jaguh lempar cakera kebangsaan, Muhamad Irfan Shamsuddin berkata fokus utamanya tahun ini adalah bagi mempertahankan pingat emas miliknya pada Sukan SEA Vietnam, pertengahan Mei ini.

Atlet berusia 27 tahun itu, berkata dia ketika ini sedang giat melakukan persiapan di bawah bimbingan jurulatih, Frank Petrovic.

Katanya, pada masa yang sama dia juga mengintai peluang untuk layak ke Sukan Komanwel Birmingham yang akan berlangsung pada Julai dan Sukan Asia Hangzhou (September).

"Setakat ini, semuanya berjalan lancar. Keadaan fizikal serta mental saya juga berada pada tahap terbaik. Saya harap apabila tiba masanya nanti, saya dapat mempamerkan prestasi terbaik saya," katanya.

Sebagai rekod, Irfan yang berasal dari Seremban berjaya mendominasi empat edisi Sukan SEA berturut-turut menerusi kejayaannya memenangi emas pada 2013 di Myanmar, 2015 di Singapura, 2017 di Kuala Lumpur dan 2019 di Filipina.

Ditanya mengenai perancangan untuk menyertai mana-mana kejohanan antarabangsa sebagai persiapan, Irfan yang juga pemenang perak Kejohanan Asia 2017, berkata: "Setakat ini belum ada kata putus lagi mengenai perkara itu.

"Saya akan mengadakan perbincangan lanjut dengan MSN (Majlis Sukan Negara) dan KOM (Kesatuan Olahraga Malaysia) bagi program untuk tahun ini," katanya.

Sukan SEA Vietnam akan berlangsung pada 12 hingga 23 Mei, diikuti Sukan Komanwel Birmingham (28 Julai hingga 8 Ogos) dan Sukan Asia Hangzhou (10 hingga 25 September).

Berita Harian X