Jumaat, 24 Disember 2021 | 5:47pm
Ketua jurulatih olahraga kebangsaan, Manshahar Abdul Jalil.
Ketua jurulatih olahraga kebangsaan, Manshahar Abdul Jalil.

Manshahar puas hati prestasi atlet olahraga tertutup kebangsaan

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih olahraga kebangsaan, Manshahar Abdul Jalil menyifatkan prestasi atlet yang beraksi di Kejohanan Olahraga Tertutup Kebangsaan baru-baru ini sebagai memuaskan.

Biarpun mereka perlu beraksi dalam keadaan cuaca hujan, jurulatih itu yakin wakil mereka mampu mempertahankan pingat emas seperti di Sukan SEA Filipina 2019 di temasya seterusnya di Vietnam, Mei nanti.

"Secara keseluruhan, pencapaian kejohanan tertutup olahraga baru-baru ini menyaksikan prestasi atlet adalah memuaskan walaupun beraksi dalam keadaan cuaca hujan.

"Memang terdapat atlet kebangsaan gagal menyinar namun tidak semua kerana prestasi seperti atlet lontar tukul besi wanita negara, Grace Wong dan jaguh lempar cakera, Muhammad Irfan Shamsudin mampu mengekalkan aksi konsisten.

"Saya yakin kita mampu meraih emas seperti dimenangi pada Sukan SEA sebelum ini apabila setiap atlet melakukan persiapan lebih rapi," kata Manshahar.

Sebelum ini, Manshahar berkata, Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dijangka memuktamadkan senarai akhir barisan atlet ke Sukan SEA Vietnam pada awal Mac ini.

Katanya, senarai nama itu akan dihantar ke Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dalam tempoh berkenaan dan badan induk sukan tanah air itu akan menyerahkannya kepada penganjur Sukan SEA sebelum tarikh tutup iaitu pada 12 Mac tahun depan.

Setakat ini katanya, pihaknya masih belum boleh mengesahkan slot secara rasmi buat mana-mana atlet yang akan menggalas cabaran di Vietnam, selepas berakhir Kejohanan Olahraga Tertutup Kebangsaan pada 18 dan 19 Disember lalu yang juga platform pemilihan atlet ke temasya dwitahunan itu.

Sukan SEA Vietnam dijadual berlangsung dari 12 hingga 23 Mei sebelum Sukan Komanwel menjadi medan seterusnya iaitu dari 28 Julai hingga 8 Ogos manakala Sukan Asia bakal dianjurkan dari 10 hingga 25 September.

Berita Harian X