Sabtu, 18 Disember 2021 | 5:31pm
Gambar fail - Jaguh baling tukul besi negara, Jackie Wong.
Gambar fail - Jaguh baling tukul besi negara, Jackie Wong.

Hajat Jackie pecah rekod kebangsaan tak kesampaian

KUALA LUMPUR: Misi jaguh baling tukul besi negara, Jackie Wong untuk memecah rekod kebangsaan miliknya terhalang disebabkan hujan lebat ketika saingan Kejohanan Olahraga Tertutup Kebangsaan di Bukit Jalil, di sini, hari ini.

Walaupun berjaya mengungguli acara berkenaan dengan balingan sejauh 63.76 meter (m), Jackie berasakan dia mampu melakukan yang lebih baik lagi.

Katanya, hujan yang terlalu lebat menyebabkan balingannya terganggu selain penganjur terpaksa membatalkan tiga percubaan terakhir berikutan cuaca tidak menentu.

"Saya sempat melakukan tiga balingan pertama sebelum penganjur terpaksa membatalkan tiga percubaan terakhir disebabkan hujan lebat. Jadi, saya menang dengan balingan sejauh 63.76m sahaja.

"Walaupun menang tetapi saya ada sedikit kecewa kerana saya merasakan diri dalam keadaan yang terbaik sekarang. Namun, tak boleh nak salahkan sesiapa sebab hujan lebat," katanya.

Jackie adalah pemegang rekod kebangsaan dengan catatan 68.22m dilakukan pada kejohanan sama dua tahun lalu.

Berita Harian X