Ahad, 12 Disember 2021 | 8:00pm
Atlet lompat tinggi negara, Lee Hup Wei (tiga dari kanan) menerima saguhati daripada Presiden POS, Norhayati (dua kanan) sebagai tanda penghargaan pembabitannya dalam olahraga hingga ke peringkat Olimpik ketika AGM POS, di Kuala Lumpur, hari ini.
Atlet lompat tinggi negara, Lee Hup Wei (tiga dari kanan) menerima saguhati daripada Presiden POS, Norhayati (dua kanan) sebagai tanda penghargaan pembabitannya dalam olahraga hingga ke peringkat Olimpik ketika AGM POS, di Kuala Lumpur, hari ini.

Norhayati presiden baharu Persatuan Olahraga Selangor

KUALA LUMPUR: Persatuan Olahraga Selangor (POS) yang dilanda kemelut dalaman sebelum ini melakukan transformasi besar apabila memilih bekas atlet Wilayah Persekutuan, Norhayati Karim bagi menerajui badan induk itu pada mesyurat agung tahunan (AGM) di sini, hari ini.

Pemilihan berkenaan turut mencipta sejarah apabila Norhayati, 40, menjadi wanita pertama dilantik memimpin persatuan olahraga di negara ini yang sebelum ini didominasi lelaki sahaja.

Beliau yang juga anak kepada bekas Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim diumum menang tanpa bertanding dalam pemilihan barisan kempimpinan bagi penggal 2021-2024 sekali gus mengambil alih kerusi nombor satu POS yang sebelum ini disandang Datuk SM Muthu.

Norhayati berkata fokus utamanya adalah membawa perubahan dalam persatuan negeri itu sebagai sebuah badan sukan yang bersih, berintergriti dan mempunyai akauntabiliti dalam aspek kewangan mahupun kuasa.

Selain itu, katanya, beliau juga akan memberi keutamaan kepada kebajikan atlet dan jurulatih bagi memastikan mereka mampu mencipta kejayaan di peringkat lebih tinggi.

"Sebagai Presiden POS, saya bertekad untuk menghapuskan semua perbezaan yang boleh menghancurkan olahraga Selangor. POS akan ditadbirkan secara adil saksama dalam semua aspek pentadbirannya.

"Pada masa sama, saya berjanji akan memastikan setiap dana, insentif dan sumber kewangan POS memanfaatkan atlit, jurulatih dan warga olahraga Negeri Selangor," katanya pada sidang media selepas AGM yang diadakan Wisma Majlis Olimpik Malaysia (MOM) di sini, hari ini.

Ditanya mengenai kemelut yang melanda POS sebelum ini, Norhayati berkata, kepimpinan baharu tidak mahu mencampuri urusan berkenaan dan mahu fokus kepada memperbaiki dan mempertingkatkan lagi kualiti atlet Selangor.

"Kita mengharapkan pemilihan jawatankuasa dan kepimpinan baharu akan terus majukan persatuan. Berkaitan kemelut lama saya percaya pihak berkuasa akan menjalankan siasatan," katanya.

Sebelum ini, POS dilanda kemelut selepas badan induk itu memutuskan untuk memecat Muthu menerusi mesyuarat agung luar biasa (EGM) pada 24 Oktober lalu selepas didakwa melakukan penyelewengan lebih RM100,000 daripada akaun simpanan tetap badan induk berkenaan.

Bagaimanapun, Muthu tampil mendakwa beliau masih lagi sah sebagai presiden POS berikutan EGM yang dilakukan itu adalah tidak sah seperti termaktub dalam perlembagaan persatuan berkenaan.

Sementara itu, Muthu dan beberapa kepimpinan terdahulu tidak hadir bagi mempertahankan jawatan masing-masing pada AGM kali ini sekali gus semua individu baharu yang dicalonkan menang tanpa bertanding.

Berita Harian X