Jumaat, 17 September 2021 | 7:15pm
Ziyad dan jurulatihnya, Faizol Harun membotakkan kepala selepas mencapai misi lontaran melepasi 17.70 meter di Tokyo 2020.
Ziyad dan jurulatihnya, Faizol Harun membotakkan kepala selepas mencapai misi lontaran melepasi 17.70 meter di Tokyo 2020.

Ziyad botakkan kepala, lupakan insiden hitam Tokyo 2020

KUALA LUMPUR: Jaguh lontar peluru para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli sudah mula membuat perancangan program latihan apabila dia bakal mengharungi jadual padat sepanjang kalendar 2022.

Atlet berusia 31 tahun itu yang membotakkan kepala selepas berjaya membuat balingan melepasi 17.70 meter berkata, dia sudah melupakan insiden yang menimpanya di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 dengan fokus kini terarah bagi melakukan persiapan menghadapi beberapa kejohanan utama tahun depan.

Katanya, selain Kejohanan Olahraga Para Dunia, dia juga akan beraksi pada Sukan SEA, Sukan Para ASEAN dan Sukan Para Asia.

"Saya sudah pun berbincang dengan jurulatih (Mohd Faizol Harun) mengenai program latihan tahun depan. Paling utama adalah Kejohanan Dunia yang mana saya mahu kembali merampas status sebagai pemegang rekod dunia.

"Selain itu, ada Sukan SEA… saya mahu sekurang-kurangnya mempertahankan pencapaian edisi sebelum ini di Filipina pada 2019 apabila saya meraih pingat perak. Sebelum itu, saya memenangi gangsa di Sukan Para ASEAN Lumpur pada 2017.

"Sukan Para ASEAN pula sudah pasti saya mahu pertahankan emas yang dimenangi sejak tiga edisi terdahulu (2014, 2015 dan 2017).

"Sukan Para Asia juga penting untuk saya yang mana saya juga adalah juara bertahan selepas memenangi emas dalam dua edisi sebelum ini. Jadi, untuk merealisasikan matlamat saya itu, saya perlu bekerja keras bermula dari sekarang," katanya.

Kejohanan Olahraga Para Dunia akan berlangsung di Kobe, Jepun bermula 26 Ogos hingga 4 September 2022 manakala Sukan Para Asia diadakan di Hangzhou pada 9 hingga 15 Oktober 2022.

Tuan rumah bagi Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN, Vietnam masih belum menetapkan tarikh baharu temasya berkenaan selepas ditangguhkan sebelum ini.

Ziyad terlepas emas dan rekod dunia yang dilakukannya dengan catatan 17.94 meter (m) selepas penyertaannya di Sukan Paralimpik Tokyo diklasifikasikan sebagai DNS (tidak bermula) susulan protes yang dilakukan Ukraine disebabkan kelewatannya tiba di bilik menunggu sebelum pertandingan dimulakan.

Atlet Ukraine, Maksym Koval berjaya memenangi emas dan balingannya sejauh 17.34m diiktiraf sebagai rekod dunia yang baharu mengatasi rekod dilakukan Ziyad dengan catatan 17.29m ketika Kejohanan Olahraga Para Dunia 2017 di London.

Berita Harian X