Selasa, 27 Oktober 2020 | 3:14pm
Kuartet 4x100 negara yang dibarisi Haiqal Hanafi, Jonathan Nyepa, Badrul Hisyam Manap dan Nixson Kennedy memecahkan rekod kebangsaan pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 tetapi sekadar menduduki tempat keempat. - FOTO YAZIT RAZALI
Kuartet 4x100 negara yang dibarisi Haiqal Hanafi, Jonathan Nyepa, Badrul Hisyam Manap dan Nixson Kennedy memecahkan rekod kebangsaan pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 tetapi sekadar menduduki tempat keempat. - FOTO YAZIT RAZALI

Kuartet 4x100 sasar pingat Sukan Asia

KUALA LUMPUR: Misi utama kuartet 4x100 meter lelaki negara bukan sahaja meraih pingat emas pada Sukan SEA 2021 di Hanoi, Vietnam tetapi turut mengintai peluang bagi menghadirkan butiran pingat pada Sukan Asia 2022 di Hangzou, China.

Ketua jurulatih olahraga negara, Mohd Manshahar Abd Jalil berkata, misi berkenaan bukanlah sesuatu yang mustahil melihat kepada potensi yang dimiliki barisan atlet pecut ketika ini.

"Sebab itu kita kumpulkan semua atlet pecut terbaik menjalani latihan bersama di bawah ketua jurulatih pecut, Dwayne Miller agar dia boleh buat perancangan awal. Ini juga KPI (petunjuk prestasi utama) yang diletakkan kepadanya.

"Kalau lihat berdasarkan kemampuan kuartet kita ketika Sukan SEA di Filipina tahun lalu (menang perak), kita nampak ada peluang yang besar untuk menang emas pada Sukan SEA di Vietnam.

"Melihat kepada catatan peribadi terbaik atlet pecut kita, sepatutnya memang kita boleh menang emas di Vietnam. Sebab itu kita perlu mengumpulkan mereka lebih awal bagi berlatih bersama kerana acara lari berganti-ganti turut membabitkan teknikal yang perlu diperbaiki dari semasa ke semasa.

"Mereka perlu diberi pendedahan dan menyertai kejohanan. Perancangan kita juga bukan setakat peringkat Sukan SEA tetapi kita mahu pergi jauh untuk sekurang-kurangnya meraih pingat pada Sukan Asia (di Hangzhou)," kata Manshahar.

BH Sukan, semalam melaporkan bekas atlet pecut negara, Nazmizan Mohamad percaya kumpulan pelari pecut yang kini dikumpulkan bagi menjalani latihan bersama di Bukit Jalil mampu menamatkan kemarau panjang Malaysia memenangi emas di Vietnam.

Enam atlet pecut terbaik yang berada di bawah bimbingan Miller ketika ini ialah Muhamad Haiqal Hanafi, Khairul Hafiz Jantan Nixson Kennedy, Jonathan Nyepa, Muhammad Zulfiqar Ismail dan Mohd Aqil Yasmin.

Di Filipina tahun lalu, kuartet yang dibarisi Haiqal, Khairul Hafiz, Nixson dan Russel Alexander Nasir Taib meraih perak dengan catatan 39.78s.

Mengulas mengenai potensi mereka di pentas Sukan Asia, Manshahar mengakui Malaysia bakal berdepan persaingan yang sukar dengan gergasi Asia seperti China, Jepun dan Qatar.

"Mereka ada pelari yang buat bawah 10 saat (acara 100m), jadi mereka memang kuat.

"Sebab itu, kalau kita boleh tumpukan terhadap persiapan bagi acara berpasukan ini lebih awal, peluang itu lebih besar untuk sekurang-kurangnya kita memenangi pingat.

"Namun, saya tidak nafikan atlet lain dalam acara balingan dan lompatan juga boleh menyumbang pingat," katanya.

Berita Harian X