Isnin, 26 Oktober 2020 | 4:32pm
Haiqal (dua dari kiri) antara nadi kuartet 4x100 meter negara.
Haiqal (dua dari kiri) antara nadi kuartet 4x100 meter negara.

Kemarau 44 tahun boleh berakhir di Vietnam

KUALA LUMPUR: Nazmizan Mohamad percaya kumpulan pelari pecut yang kini dikumpulkan bagi menjalani latihan bersama di Bukit Jalil mampu menamatkan kemarau panjang Malaysia memenangi pingat emas acara 4x100 meter pada Sukan SEA 2021 di Vietnam.

Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) sebelum ini memutuskan untuk mengumpulkan semua atlet pecut terbaik negara berlatih di Bukit Jalil termasuklah Muhamad Haiqal Hanafi dan Khairul Hafiz Jantan di bawah bimbingan Pengarah Teknikal KOM, Dwayne Miller sejak Julai lalu.

Selain Haiqal dan Khairul Hafiz yang sebelum ini berpangkalan di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Johor, di bawah bimbingan jurulatih Mohd Poad Mohd Kassim, atlet lain yang turut berada di bawah jagaan Miller kini ialah Nixson Kennedy, Russel Alexander Nasir Taib dan Jonathan Nyepa.

Nazmizan yang juga bekas jaguh pecut negara berkata, dengan tempoh persiapan yang panjang, ia membolehkan barisan kejurulatihan membentuk kuartet yang mampu menjadi pencabar utama untuk memenangi emas pada temasya dwitahunan itu.

"Kalau ikutkan sebelum ini memang sukar untuk kumpulkan atlet berlatih bersama dari awal. Biasanya paling lama pun sebulan sebelum kejohanan berlangsung baru dapat berkumpul dan buat persiapan.

"Jadi, apabila KOM buat keputusan ini (mengumpulkan semua atlet pecut terbaik negara berlatih bersama), ia langkah yang baik. Ia membolehkan Miller membuat perancangan awal bagi membentuk kuartet 4x100m negara.

"Lagipun, kalau tengok laporan media baru-baru ini, Haiqal semua sudah semakin serasi dengan latihan Miller dan ini sesuatu yang positif. Saya percaya mereka boleh hasilkan keputusan yang positif di Vietnam nanti," katanya.

Bekas pemenang emas acara 100m pada Sukan SEA 2003 di Hanoi itu berkata, sekiranya kuartet negara mampu konsisten dengan melakukan catatan 38.8 saat (s) sehingga 39.1s, peluang untuk meraih emas di Vietnam memang tinggi.

"Kalau kita lihat pada Sukan SEA 2019 di Filipina, kuartet Thailand yang menang emas ketika itu mencatat masa 39.27s. Masa 2017 di Kuala Lumpur pula kuartet Thailand yang menang emas itu mencatatkan 38.90s.

"Jadi, jika kita mahu menang emas di Vietnam, kita kena konsisten melakukan catatan masa dalam lingkungan itu antara 38.8s hingga 39.1s. Saya percaya dengan kewibawaan atlet pecut yang kita ada sekarang ini dan bukan mustahil untuk mereka lakukannya," kata Nazmizan.

Di Filipina dua tahun lalu, kuartet negara yang dibarisi Haiqal, Khairul Hafiz, Nixson dan Russel meraih perak dengan catatan 39.78s.

Sebagai rekod, kuartet negara tidak pernah memenangi emas acara 4x100m sejak temasya itu ditukar nama kepada Sukan SEA daripada Sukan SEAP pada 1977.

Berita Harian X