Ahad, 18 Oktober 2020 | 8:38pm
Pelari pecut kebangsaan, Muhammad Haiqal Hanafi - Foto NSTP/ Owee Ah Chun.
Pelari pecut kebangsaan, Muhammad Haiqal Hanafi - Foto NSTP/ Owee Ah Chun.

Haiqal makin serasi dibimbing Miller

KUALA LUMPUR: Atlet pecut negara, Muhammad Haiqal Hanafi mengakui semakin serasi berlatih di bawah bimbingan Pengarah Teknikal Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Dwayne Miller di Bukit Jalil.

Pemenang pingat emas 100 meter Sukan SEA 2019 di Filipina, itu berkata biarpun corak latihan yang diterapkan Miller berbeza berbanding dengan apa yang dilakukannya sebelum ini, namun ia bukan masalah besar buat dirinya.

"Memang sangat berbeza corak latihan dia (Miller) sebab lebih banyakan ketahahan dan latihan di gimnasium. Namun, corak latihan dia memang bagus.

"Cuma, saya perlu lebih menyesuaikan diri lagi agar dapat momentum saya dalam larian," katanya.

KOM sebelum ini memutuskan untuk memindahkan pusat latihan Haiqal dan seorang lagi atlet pecut yang juga pemenang emas Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur, Khairul Hafiz Jantan ke Bukit Jalil untuk menjalani latihan di bawah bimbingan Miller sejak Julai lalu.

Ia juga sebagai salah satu usaha KOM bagi menguatkan kuartet 4x100m negara.

Kedua-dua atlet itu sebelum ini berpangkalan di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) di Johor dan berada di bawah bimbingan jurulatih, Mohd Poad Mohd Kassim.

Miller yang berasal dari Amerika Syarikat memiliki pengalaman selama 30 tahun dalam bidang kejurulatihan dan pernah membimbing pemenang dua emas Sukan Olimpik Beijing 2008, LaShawn Merritt.

Sementara itu, ketua jurulatih olahraga negara, Mohd Manshahar Abdul Jalil, berkata Haiqal dan Khairul Hafiz menunjukkan komitmen yang tinggi sepanjang sesi latihan bersama atlet pecut terbaik negara yang lain.

"Latihan semua berjalan dengan lancar, tiada sebarang masalah. Semua atlet terbaik pecut kita kumpulkan untuk berlatih bersama sekali gus akan mewujudkan persaingan yang sihat antara mereka," katanya.

Berita Harian X