X
Ahad, 3 Mei 2020 | 10:37pm
Aksi Nauraj pada pusingan kelayakan Sukan Olimpik Rio 2016.
Aksi Nauraj pada pusingan kelayakan Sukan Olimpik Rio 2016.

4 atlet berpotensi ke Olimpik

KUALA LUMPUR: Empat atlet olahraga negara dilihat berpotensi melayakkan diri secara merit ke Sukan Olimpik Tokyo tahun depan.

Ketua jurulatih olahraga negara, Mohd Manshahar Abd Jalil, berkata mereka ialah dua atlet lompat tinggi, Lee Hup Wei dan Nauraj Singh Randhawa selain Muhamad Hakimi Ismail (lompat kijang) serta Andre Anura (lompat jauh).

Katanya, selepas semua kejohanan ditangguhkan susulan pandemik COVID-19, persaingan bagi memburu tiket ke Tokyo hanya akan bermula Disember depan.

"Kelayakan hanya bermula pada 1 Disember 2020 hingga 29 Jun 2021. Secara tidak langsung saya harap ada kejohanan yang boleh disertai atlet untuk layak ke Olimpik.

"Buat masa ini belum ada sebarang maklumat mengenai kejohanan yang akan bermula dahulu pada Disember depan. Diharapkan pandemik ini berakhir dengan segera," katanya kepada BH Sukan.

Empat tahun lalu, Nauraj berjaya melayakkan diri secara merit ke Olimpik Rio 2016.

Malaysia turut mempunyai seorang lagi wakil iaitu Zaidatul Husniah Zulkifli dalam acara 100 meter wanita selepas dia diberikan slot wild card.

"Sekiranya atlet negara gagal layak secara merit dalam kejohanan kelayakan atau menerusi kedudukan ranking dunia, satu slot wild card kebiasaannya akan diberikan," kata Manshahar.

Dalam pada itu, Manshahar, berkata dia kini hanya menunggu arahan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) bagi melaksanakan perancangan seterusnya selepas hampir dua bulan atlet tidak boleh berlatih susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu.

"Atlet masih berada di kediaman masing-masing dengan latihan dipantau jurulatih melalui aplikasi zoom dan skype.

"Laporan mingguan diserahkan kepada MSN seperti biasa. Semua atlet dan jurulatih sihat dan meneruskan PKP seperti mana arahan kerajaan kecuali Jackie Wong (atlet baling tukul besi) yang masih di kuarantin di hospital," katanya.

Berita Harian X