Jumaat, 10 Januari 2020 | 9:08pm
PRESIDEN Kesatuan Olahraga Malaysia, Datuk S.M Muthu ketika sidang media khas di Ibupejabat OCM. NSTP/Muhd Zaaba Zakeria
PRESIDEN Kesatuan Olahraga Malaysia, Datuk S.M Muthu ketika sidang media khas di Ibupejabat OCM. NSTP/Muhd Zaaba Zakeria

Atlet 17 tahun positif steroid

KUALA LUMPUR: Atlet pecut muda negara berusia 17 tahun bakal berdepan hukuman penggantungan selama empat tahun selepas didapati positif doping ketika menyertai Kejohanan Tertutup Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) 2019, Ogos tahun lalu.

Mengumumkan perkembangan itu hari ini, Presiden KOM, Datuk S. M. Muthu berkata, atlet lelaki yang beraksi dalam acara 4x100 meter itu didapati menggunakan dua bahan terlarang iaitu methasterone dan oxymetholone, sejenis steroid androgenik anabolik.

Beliau berkata KOM telah memanggil atlet tersebut dan seorang jurulatih kebangsaan, masing-masing pada 26 Dis lepas dan semalam bagi sesi pendengaran pertama sebelum kedua-dua mereka akan dipanggil semula minggu hadapan bagi sesi kedua.

“Dua jenis bahan terlarang methasterone dan oxymetholone telah dijumpai dalam ujian tersebut, dipercayai digunakan bagi meningkatkan daya prestasi tetapi siasatan masih berjalan dan telah memasuki fasa akhir.

“Kita perlu kumpulkan seberapa banyak maklumat sebelum memutuskan sebarang tindakan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Jawatankuasa KOM, di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (MOM), di sini, hari ini.

Pada masa sama, Naib Presiden KOM, Datuk R. Annamalai berkata, jika didapati bersalah, atlet tersebut bakal digantung daripada menyertai sebarang kejohanan dalam dan luar negara selama empat tahun.

“Jika steroid yang kuat macam ini memang empat tahun (hukuman)...tidak boleh elak. Cuma jika atlet itu boleh buktikan sesuatu (dianiaya) dia mungkin terlepas.

“Kita mesti siasat perkara ini betul-betul untuk melihat punca sebenar dan terpaksa memanggil sekali lagi atlet dan jurulatih berkenaan sebelum buat sebarang keputusan,” jelasnya. - BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X