Jumaat, 3 Januari 2020 | 6:15pm
Muhammad Haiqal Hanafi. Gambar kecil; Jurulatih Olahraga Negara, Mohd Poad Md Kassim. - Foto Mohd Fadli Hamzah dan Mohammad Shahril Badri Saali
Muhammad Haiqal Hanafi. Gambar kecil; Jurulatih Olahraga Negara, Mohd Poad Md Kassim. - Foto Mohd Fadli Hamzah dan Mohammad Shahril Badri Saali

Poad letak syarat lepaskan Haiqal

 

KUALA LUMPUR: Jurulatih raja pecut Asia Tenggara, Mohd Poad Md Kassim mengakui dia bersedia ‘melepaskan’ Muhammad Haiqal Hanafi kepada guru lain di luar negara demi masa depan atlet berkenaan.

Bagaimanapun Poad dilihat hanya mahu berbuat demikian jika perancangan untuk latihan dan pertandingan buat Haiqal membabitkan pelan jangka masa panjang selain tempat yang sesuai.

Ini bagi mengelakkan sebarang pembaziran berlaku sambil mengambil contoh tidak mahu kes sama berlaku seperti Jonathan Nyepa dan Zaidatul Husniah Zulkifli yang menjalani latihan di Amerika Syarikat (AS) sebelum menyertai Sukan SEA Filipina.

“Saya sedia lepaskan Haiqal tapi untuk tempoh jangka masa panjang dan tempat yang sesuai. Benar seperti kata Nazmizan Muhammad, kena ada perancangan rapi dan mencari tempat yang sesuai. Saya tidak mahu ia terjadi seperti Jonathan dan Husniah, macam satu pembaziran.

“Pada saya AS memang tempat sesuai namun perlu selidik tempat yang menjadi tumpuan, bermakna lokasi itu turut menjadi tempat latihan seperti atlet dari China dan Jepun,” kata Poad kepada BH Sukan, hari ini.

Semalam BH Sukan melaporkan Nazmizan yang juga bekas raja pecut Asia Tenggara menyifatkan Haiqal perlu diberi kepercayaan menentukan hala tuju kariernya, sambil menegaskan jika berhasrat menghantarnya ke luar negara perancangan awal dan tempat sesuai perlu diambil kira.

Mengulas lanjut, Poad berkata jika mahu menghantar atlet menjalani latihan dan pertandingan di luar negara, seeloknya lebih daripada seorang dan remaja terpantas dunia acara 200 meter (m), Muhammad Azeem Mohd Fahmi perlu turut serta.

“Kalau jangka masa panjang saya tak ada pun tak mengapa tetapi pihak bertanggungjawab perlu memikirkan jangka masa panjang termasuklah mekanisme bagaimana mereka hendak menyambung pengajian.

“Tapi jika membabitkan pelan jangka masa pendek, saya OK dan boleh turut serta kerana saya juga dapat menimba ilmu berkaitan kejurulatihan,” kata Poad.

 

 

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X