Sabtu, 28 Disember 2019 | 7:41pm
ATLET heptathlon, Norliyana Kamaruddin. - Foto Zulfadhli Zulkifli
ATLET heptathlon, Norliyana Kamaruddin. - Foto Zulfadhli Zulkifli

Norliyana azam perbaiki catatan di Iran, China

KUALA LUMPUR: Kepercayaan buat kali pertama diberikan untuk beraksi pada kejohanan dalam dewan akan digunakan sebaiknya Norliyana Kamaruddin bagi memperbaiki prestasi dirinya.

Malah pemenang pingat perak acara heptathlon wanita di temasya Sukan SEA Filipina lalu itu juga menegaskan dia tidak akan mengambil mudah meskipun ia hanya kejohanan dalam dewan.

Norliyana disenaraikan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) untuk beraksi dalam acara pentathlon pada Kejohanan Olahraga Dalam Dewan Dahe Fajr ke-23, Iran (9 & 10 Januari) serta Kejohanan Dalam Dewan Asia Ke-9 di Hangzhou, China (12 & 13 Februari).

“Saya ingin memperbaiki prestasi dalam setiap acara dalam kejohanan di Iran dan China selain memberikan tumpuan terhadap acara padang seperti lompat tinggi, lompat jauh dan lontar peluru.

“Ini kerana ia adalah penampilan pertama saya pada kejohanan dalam dewan malah saya sendiri tidak tahu siapa pesaing yang menanti saya kelak,” kata Norliyana kepada BH Sukan, hari ini.

Selain Norliyana, atlet lain disenaraikan KOM ke Iran adalah Khairul Hafiz Jantan yang akan beraksi dalam acara 60 meter (m) Luqmanul Hakim Khairul Akmal dalam acara 400m, Andre Anura Anuar (lompat kijang) dan Luqman Hakim Ramlan (lompat jauh).

Kejohanan di China pada 12 dan 13 Februari depan pula diwakili lapan atlet kebangsaan iaitu Muhammad Haiqal Hanafi (acara 60m), Nauraj Singh Randhawa dan Lee Hup Wei dalam acara lompat tinggi.

Muhammad Hakimi Ismail pula akan beraksi dalam acara lompat kijang, Rayzam Shah Wan Sofian (60m lari berpagar), Andre Anura (lompat jauh) dan Yap Sean Yee (lompat tinggi).

 

 

Berita Harian X