Jumaat, 27 Disember 2019 | 8:01pm
KOM tetap memberikan kepercayaan kepada Khairul Hafiz untuk beraksi di pentas antarabangsa selepas ini. - Arkib NSTP
KOM tetap memberikan kepercayaan kepada Khairul Hafiz untuk beraksi di pentas antarabangsa selepas ini. - Arkib NSTP

Khairul Hafiz terus diberi kepercayaan

KUALA LUMPUR: Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) tetap memberikan kepercayaan kepada bekas raja pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan untuk beraksi di pentas antarabangsa selepas ini.

Malah ketua jurulatih olahraga negara, Mohd Manshahar Abd Jalil yakin atlet kendalian Mohd Poad Md Kassim itu akan kembali menyinar pada masa akan datang selepas agak tenggelam gara-gara kecederaan sebelum ini.

“Insya-Allah Khairul Hafiz boleh bangkit semula, yang penting motivasi dan kita lihat dia sudah boleh berlari dengan baik.

“Malah kita juga bersetuju dengan permintaan Mohd Poad untuk menyenaraikan Khairul Hafiz dalam acara 60 meter (m) pada Kejohanan Olahraga Dalam Dewan Dahe Fajr ke-23, Iran pada 9 dan 10 Januari depan,” kata Mohd Manshahar kepada BH Sukan, hari ini.

Pada Sukan SEA Filipina lalu, Khairul Hafiz membantu negara menyumbang pingat perak acara 4x100m lelaki bersama rakan sepasukan iaitu Nixson Kennedy, Russell Alexander Nasir Taib dan raja pecut Asia Tenggara yang baharu, Muhammad Haiqal Hanafi.

Mengulas lanjut, Mohd Manshahar menjelaskan selain Khairul Hafiz, turut tersenarai ke Iran nanti adalah Luqmanul Hakim Khairul Akmal dalam acara 400m, Andre Anura Anuar (lompat kijang), Norliyana Kamaruddin (pentathlon) dan Luqman Hakim Ramlan (lompat jauh).

Dalam pada itu, Mohd Manshahar berkata selain kejohanan di Iran, atlet olahraga negara juga akan menggalas cabaran di Kejohanan Dalam Dewan Asia Ke-9 di Hangzhou, China pada 12 dan 13 Februari depan.

Kejohanan yang dianggap sebagai pemanas badan dan juga persediaan awal pertandingan lebih besar itu disertai lapan atlet kebangsaan.

Muhammad Haiqal disenaraikan beraksi dalam acara 60m manakala Nauraj Singh Randhawa dan Lee Hup Wei dalam acara lompat tinggi.

Selain itu, turut diberi kepercayaan beraksi di China adalah Muhammad Hakimi Ismail dalam acara lompat kijang, Rayzam Shah Wan Sofian (60m lari berpagar), Andre Anura (lompat jauh), Yap Sean Yee (lompat tinggi) dan Norliyana (pentathlon).

Berita Harian X