Sabtu, 14 Disember 2019 | 5:41pm
Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria ketika sidang media selepas mesyuarat majlis eksekutif MOM ke 191 di Wisma MOM, hari ini. - NSTP/Owee Ah Chun
Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria ketika sidang media selepas mesyuarat majlis eksekutif MOM ke 191 di Wisma MOM, hari ini. - NSTP/Owee Ah Chun

'Hanya Filipina tiada masalah'

KUALA LUMPUR: Bukan sekadar kontinjen negara, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) berkata kontinjen negara lain juga kebanyakannya menghadapi situasi sama dengan Malaysia apabila tidak berjaya mencapai sasaran ditetapkan pada Sukan SEA ke-30 Filipina.

Presiden MOM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, keluhan sama dihadapi kontinjen lain yang ditemuinya ketika berada di Filipina. 

"Mereka (kontinjen lain) juga menetapkan sasaran dan mereka juga tak dapat penuhi sasaran. Anda tahu mengapa? Kerana mereka juga mengalami situasi kesukaran yang sama seperti dihadapi kontinjen negara.

"Satu-satunya negara yang tak lalui kesukaran adalah yang dapat 149 emas itu (Filipina). Saya rasa biarlah kita berlaku adil tentang perkara ini kerana semua negara berdepan benda sama, melakukan aduan sama seperti yang kita timbulkan. 

“Jadi ini bukanlah dianggap faktor yang hanya dihadapi Malaysia," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Eksekutif MOM ke-191, di sini, hari ini.

Pada temasya kali ini, Filipina muncul juara keseluruhan dengan 149 emas selepas 14 tahun diikuti Vietnam yang melepasi sasaran 65-70 emas apabila menduduki tempat kedua dengan 98 emas.

Kuasa besar sukan Asia Tenggara, Thailand pula berada di tempat ketiga berdepan kekecewaan apabila sasaran 121 emas tidak dipenuhi apabila berpuas hati dengan 92 emas, 103 perak dan 123 gangsa sementara Indonesia yang meletakkan sasaran dua teratas keseluruhan dengan 60 emas, terpaksa berpuas hati di kedudukan keempat biarpun memenangi 72 emas.

Beliau bagaimanapun berkata, mesyuarat hari ini mempersetujui kegagalan mencapai sasaran 70 pingat emas adalah tanggungjawab bersama semua pihak memandangkan pelbagai kesukaran dihadapi termasuklah isu membabitkan persiapan tuan rumah, logistik, pengadilan dan juga beberapa isu lain.

Kontinjen negara yang mensasarkan 70 emas, membawa pulang 56 emas, 57 perak dan 71 gangsa.

Norza berkata, satu bedah siasat akan dilakukan MOM dengan mengadakan pertemuan bersama persatuan sukan kebangsaan bagi mengenalpasti masalah dan perancangan akan datang.

"Temasya kali ini adalah tempat yang sukar dengan faktor taufan, kesesakan lalu lintas dan pelbagai situasi lain cuma kita sekarang perlu belajar daripada pengalaman ini bagaimana kita mahu perbaiki isu kekuatan mental dan psikologi atlet bagi berdepan dengan kesukaran seperti.

“Institut Sukan Negara (ISN) sudah mengambil maklum akan hal ini dan akan mengambil tindakan sepatutnya," katanya.

Berita Harian X