Isnin, 7 Oktober 2019 | 12:07pm
ATLET rejam lembing Grenada, Anderson Peters. - Foto AFP

Anderson Peters jaguh dunia rejam lembing 

DOHA: Atlet rejam lembing Grenada, Anderson Peters mencipta kejutan dengan menjuarai acara itu di Kejohanan Olahraga Dunia di sini, semalam selepas juara Olimpik dari Jerman, Thomas Rohler gagal mara ke pusingan akhir.

Peters, 21,  menang emas dengan catatan 86.89 meter sekali gus menghadiahkan pingat emas kedua Kejohanan Dunia buat negara kepulauan kecil Caribbean itu selepas kejayaan pertama dicipta Kirani James yang menjuarai acara 400 meter dalam kejohanan sama pada 2011.

Bagaimanapun, kejayaan itu tidak dapat diraikannya terlalu lama kerana dia perlu bergegas pulang untuk menduduki peperiksaan pengajiannya di Universiti Mississippi minggu depan.

"Saya sudah terlepas beberapa kuliah, saya ada peperiksaan Selasa ini,” kata Peters.

Pingat perak dimenangi atlet Estonia, Magnus Kirt dengan catatan 86.21 meter meskipun dia terpaksa menarik diri awal susulan cedera pada bahu pada cubaan kelimanya.

Kirt terpaksa menggunakan kerusi roda keluar dari padang namun sempat menaiki podium pada majlis penyampaian hadiah dengan tangannya dipasang kain anduh.

Peters berkata, kejayaannya itu adalah hasil inspirasi selepas menonton rakaman James di Daegu, Korea Selatan, lapan tahun lalu.

"Sukar nak percaya menang pingat ini untuk dihadiahkan kepada negara, ini menunjukkan bahawa semua atlet mampu muncul juara dunia,” katanya.

Peters juga mengakui dia agak gemuruh sepanjang mengharungi sesi kelayakan acara berkenaan.

"Saya amat gementar tetapi selepas ke final saya berasa seperti seseorang lelaki yang lain pula hari ini, saya sudah bergelar juara dunia. Ia memberi banyak makna kepada saya dan saya percaya ia juga begitu bermakna buat negara saya.

"Saya sebenarnya mahu menjadi atlet pecut tapi saya kerap cedera, jadi jurulatih saya membuat keputusan supaya mencuba acara lain dan akhirnya memilih rejam lembing dan tak sangka saya bagus dalam disiplin ini,” katanya.

Dalam pada itu, atlet Jerman yang lazimnya menguasai acara itu sekadar berpuas hati dengan gangsa menerusi, Johannes Vetter yang mencatat 85.37 meter selepas dia dilanda kecederaan sepanjang musim.

Selain Rohler, pemenang pingat perak Kejohanan Eropah yang juga juara Jerman, Andreas Hofmann turut gagal mara ke pusingan akhir acara berkenaan. – Reuters

Berita Harian X