Rabu, 2 Oktober 2019 | 8:16am
Gaya Lee Hup Wei ketika melakukan lompatan pada Kejohanan Olahraga Dunia di Stadium Antarabangsa Khalifa, Doha, Qatar. - Foto REUTERS

Hup Wei rekod sejarah di Doha

KUALA LUMPUR: Biarpun bertanding menerusi tiket wildcard, jaguh lompat tinggi negara, Lee Hup Wei merekodkan sejarah apabila muncul atlet pertama negara berjaya melangkah ke pusingan final acara lompat tinggi pada Kejohanan Olahraga Dunia sejak ia dianjurkan pada tahun 1983.

Hup Wei, 32, yang pertama kali diberi peluang bertanding dalam Kejohanan Olahraga Dunia membuktikan pemilihannya atas tiket wildcard oleh Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) bukanlah sia-sia.

Dia mengotakan janjinya untuk menempah tiket ke final dengan mencatatkan rekod peribadi terbaik iaitu 2.29 meter (m) pada saingan kelayakan di Doha, Qatar yang berlangsung malam tadi.

Catatan itu juga membaiki rekod terbaiknya sebelum ini iaitu 2.28m yang dilakukan ketika di Canberra, Australia pada tahun lalu dan hanya kurang 0.01m bagi menyamai rekod kebangsaan milik Nauraj Singh Randhawa.

Pada saingan kelayakan di Stadium Antarabangsa Khalifa itu, Hup Wei yang diletakkan dalam Kumpulan B kelihatan begitu mudah untuk melepasi lompatan 2.17m, 2.22m, 2.26m dengan satu percubaan dan seterusnya, dia berjaya melakukan lompatan 2.29m pada lompatan terakhir.

Kejayaan itu meletakkan Hup Wei yang juga pemenang tiga pingat emas dan satu perak pada Sukan SEA dalam senarai 12 atlet terbaik yang akan bertanding pada pusingan akhir yang dijadual berlangsung pada 1.15 pagi Sabtu ini waktu Malaysia.

 

 

Berita Harian X