Selasa, 1 Oktober 2019 | 9:58am
Warholm (kiri) mempertahankan mahkotanya di Kejohanan Dunia. - Foto EPA

Warholm pertahan gelaran 400m berpagar

DOHA: Pelari Norway, Karsten Warholm mempertahankan mahkotanya di Kejohanan Dunia dengan mempamerkan persembahan bertenaga dalam acara 400 meter (m) lari berpagar sementara atlet Russia, Mariya Lasitskene melengkapkan gelaran hatrik acara lompat tinggi di Doha, awal pagi tadi.

Selepas tiga hari sejak kejohanan bermula dengan keadaan stadium yang hampir kosong, kejayaan Warholm menyaksikan kehadiran penonton teramai setakat ini di Stadium Khalifa.

Warholm mencatatkan 47.42 saat bagi membawa pulang pingat emas, dengan pesaingnya, Rai Benjamin dari Amerika Syarikat (AS) merangkul perak apabila merekodkan 47.66 saat. Pelari Qatar, Abderrahman Samba pula merangkul gangsa dengan catatan 48.03 saat.

“Ini perlumbaan yang sangat sengit,” kata Warholm. “Sebenarnya saya rasakan jantung saya akan terhenti. Saya rasakan saya akan mati tetapi semuanya berbaloi,” kata Warholm, 23.

Biarpun kehadiran penonton yang ramai, kebanyakan penonton bagaimanapun meninggalkan stadium sebelum Warholm membuat larian keraian kejayaannya di sekeliling stadium.

“Saya sudah biasa melakukannya bersendirian, jadi tak ada apa-apa masalah,” kata Warholm sambil berjenaka.

“Ia adalah berbeza sama sekali di London (pada 2017) di mana ada 60,000 penonton di sana. Saya perlu berterus terang mengenai itu. Tetapi pada masa yang sama, dengan pingat emas yang diperoleh, saya tidak kisah.”

Terdahulu, Lasitskene memenangi kejayaan ketiga berturut-turut buat dirinya di Kejohanan Dunia selepas turut memenangi emas pada 2015 dan 2017.

Atlet berumur 26 tahun itu, adalah antara 30 atlet Russia yang dibenarkan bertanding di Doha mewakili pasukan berkecuali yang dikenali ‘Authorised Neutral Athlete’, merangkul pingat emas dengan mencatatkan ketinggian 2.04 meter bagi mengatasi atlet Ukraine, Yaroslava Mahuchikh. 

Vashti Cunningham dari ASt pula merangkul gangsa.

“Ia seperti kisah dongeng apabila dapat merangkul gelaran dunia ketiga,” kata Lasitskene. “Seluruh rakyat negara saya mengharapkan untuk saya berada di podium. Saya bagaimanapun dapat atasi tekanan ini.” – AFP

Berita Harian X