Isnin, 19 Ogos 2019 | 7:19pm
KHAIRUL Hafiz (kanan) dan Muhammad Aqil (kiri) dan Shameta (dua dari kanan) bersaing sengit hingga ke garisan penamat acara 100m pada temasya SIPMA di UKM, Bangi, hari ini.

Speedy Jantan terlepas gelaran raja pecut SIPMA

BANGI: Jaguh pecut negara, Khairul Hafiz Jantan menempuh satu lagi detik yang sukar pada minggu ini apabila gagal dalam misi bergelar raja pecut pada temasya Sukan Institusi Pendidikan Malaysia (SIPMA), yang berlangsung di sini, hari ini.

Gelaran itu sebaliknya menjadi milik atlet kontinjen Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM), Muhammad Aqil Yasmin yang membakar trek 100 meter (m) di Stadium Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan catatan masa 10.76s.

Khairul yang memegang rekod kebangsaan 100m dengan catatan 10.18s jelas masih bergelut selepas turut mempamerkan rentak sumbang pada Kejohanan Olahraga Kebangsaan, Sabtu lalu.

Dalam aksi final yang sengit itu, The Speedy Jantan yang mewakili kontinjen Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) hanya dipisahkan dengan kemenangan oleh keputusan 'photo finish' selepas turut menamatkan saingan dengan 10.76s.


KHAIRUL Hafiz (kanan) dan Muhammad Aqil (kiri) dan Shameta (dua dari kanan) bersaing sengit hingga ke garisan penamat acara 100m pada temasya SIPMA di UKM, Bangi, hari ini.

Pingat gangsa menjadi milik satu lagi wakil MSSM, Muhammad Zulfiqar Ismail dengan masa 10.78s.

Sementara itu, bagi 100m wanita dimenangi atlet MSSM, Azreen Nabila Alias yang juga pelari pecut negara selepas tiba di garisan penamat dengan masa 12.39s mengatasi Chelsea Cassiopea (MSSM) 10.49s.

Pingat gangsa pula dimenangi atlet Majlis Sukan IPTS Malaysia (MASISWA), S Shameta yang mencatat kepantasan 13.03s.

Ini kali kedua Aqil dan Azreen dinobatkan selaku raja dan ratu pecut dalam tempoh dua tahun selepas mendominasi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2018 di Perak.

Sebagai rekod, untuk edisi tahun lalu acara 100m lelaki dimemangi pelari pecut negara, Badrul Hisyam Manap yang mewakili MSSM dengan catatan 10.49s.

Sukan SIPMA menyingkap tirainya hari ini dengan menyaksikan MASUM membolot lima pingat emas di hari pertama diikuti MSSM (4 emas) dan MASISWA (1 emas).

Berita Harian X