Sabtu, 30 March 2019 | 9:51pm

Lalu takluk GP Malaysia, kecewa ketiadaan Khairul Hafiz

KUALA LUMPUR: Juara remaja dunia dari Indonesia, Lalu Muhammad Zohri membuktikan statusnya apabila merangkul pingat emas acara 100 meter (m) lelaki dalam kejohanan Olahraga Grand Prix (GP) Terbuka Malaysia, hari ini. 

Pada kejohanan yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil itu, Lalu memukau penonton selepas melintasi garisan penamat dengan kepantasan masa 10.20 saat (s).

PELARI dari Indonesia, Lalu Muhammad (dua kiri) menduduki tempat pertama dengan catatan masa, 10.20 diikuti tempat kedua dari Malaysia, Muhd Zulfiqar Ismail (kanan) dengan catatan, 10.41 dan tempat ketiga Chinese Taipei, Wei Hsu Wang (dua kanan) dengan catatan, 10.44 dalam acara akhir 100M lelaki pada GP Terbuka Malaysia Pertama 2019 di Stadium Nasional Sports City Bukit Jalil. - Foto Owee Ah Chun

Begitupun Lalu mendapat tentangan sengit dari pelari pecut negara, Muhd Zulfikar Ismail yang meraih perak dengan catatan masa 10.41s, sementara Wei-Hsu Wang dari Taiwan meraih gangsa (10.44s).

“Ini adalah kejohanan pertama saya dan gembira dengan kemenangan ini walaupun tidak mempunyai sasaran di sini.

“Saya ingatkan Khairul Hafiz sertai kejohanan ini kerana di adalah musuh utama saya. Kami mempunyai catatan masa sama iaitu 10.18s.

“Saya dengar dia sakit (cedera), semoga dia cepat sembuh. Saya harap kami dapat bertemu di Filipina nanti,” kata Lalu, 19, yang meletakkan sasaran beraksi di temasya sukan terbesar dunia, Sukan Olimpik.

Sementara itu dalam saingan 100m wanita menyaksikan atlet Kyrgyzstan, Bulanova Anna meraih emas dengan catatan 11.75s sementara pingat perak dibawa pulang Chia Chen Hu dari Taiwan, 11.89s.

Atlet negara, Siti Fatimah Mohamad pula meraih pingat gangsa dengan catatan 11.91s.

LALU (tengah) memenangi pingat emas diikuti pingat perak dari Malaysia, Muhd Zulfiqar (kiri) dan pingat gangsa, Chinese Taipei, Wei Hsu Wang. - Foto Owee Ah Chun.
LALU (tengah) memenangi pingat emas diikuti pingat perak dari Malaysia, Muhd Zulfiqar (kiri) dan pingat gangsa, Chinese Taipei, Wei Hsu Wang. - Foto Owee Ah Chun.
Berita Harian X