Sabtu, 18 Ogos 2018 | 12:39pm
Atlet Wushu Negara Wong Weng Son menjalani latihan bagi menghadapi cabaran dalam Acara Wushu pada Sukan Asia Jakarta Palembang 2018 di JIEXPO Kemayoran Jakarta hari ini. - Foto BERNAMA

Wushu sudah sedia 'libas lawan'

JAKARTA: Skuad wushu lelaki negara akan memulakan pemburuan pingat pertama di Sukan Asia apabila turun beraksi esok dalam acara changquan.

Harapan disandarkan pada juara dunia, Wong Weng Son dan Yeap Wai Kin bagi menghadiahkan pingat yang mampu menyuntik semangat kontinjen negara secara keseluruhan.

Weng Son yang sudah mengadakan latihan sejak Khamis lalu menyifatkan dia sudah mula merasai suasana sebenar kejohanan yang tidak ubah seperti temasya Sukan SEA Kuala Lumpur, tahun lalu.

"Dalam waktu terdekat ini saya sudah boleh sesuaikan diri dan saya sudah cukup bersedia," katanya ketika ditemui di Perkampungan Sukan dekat Kemayoran.

Bagi memastikan dia berada pada tahap terbaik, atlet kelahiran Negeri Sembilan itu sudah mengambil langkah berjaga-jaga terutama ketika memghadapi cuaca panas di bandaraya ini akibat jerebu.

Katanya, dia membawa penutup muka dan minum banyak air sebagai langkah pencegahan kerana bimbang akan dilanda demam atau panas melampau.

"Jika terlebih panas ia akan memberi kesan terhadap persembahan, memang sukar untuk melakukan aksi terbaik jika ia berlaku," katanya.

Weng Son yang akan menyertai satu acara saja sedar akan mendapat tentangan sengit dari lawan terutama China dan Jepun.

Bagaimanapun juara dunia dalam acara jianshu itu yakin dia juga berkelebihan selepas hampir meraih perak dalam acara berkenaan namun sedikit kesilapan meranapkan harapannya di Kejohanan Dunia tahun lalu.

"Kami juga sudah berlatih di China pada Mac dan kembali ke sana untuk latihan singkat bagi menghadapi Sukan Asia," katanya.

Bagi Wai Kin pula, dia sudah bersedia sepenuhnya bagi menghadapi saingan berkenaan.

Begitupun dia lebih suka mengambil pendekatan lebih tenang dengan berjanji akan menampilkan aksi terbaik dan bergembira sambil melakukannya.

 

 

Berita Harian X