Khamis, 2 Ogos 2018 | 6:07pm
GRACE merangkul pingat emas dalam acara lontar tukul besi dan memecahkan rekod kejohanan ASG 2018 di MSN Bukit Jalil. - Foto Asyraf Hamzah
GRACE merangkul pingat emas dalam acara lontar tukul besi dan memecahkan rekod kejohanan ASG 2018 di MSN Bukit Jalil. - Foto Asyraf Hamzah

Grace fokus SPM

KUALA LUMPUR: Atlet baling tukul besi wanita negara, Grace Wong terpaksa berehat seketika daripada menyertai pertandingan kompetitif bagi memberi fokus kepada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia tahun ini.

Dia terpaksa melepaskan peluang beraksi di dua temasya utama iaitu Komanwel dan Sukan Asia kerana terikat dengan pelajaran dan waktu persekolahan.

Bagaimanapun tegas atlet kelahiran Sarawak itu, dia masih lagi meneruskan latihan seperti biasa di sekolah dan menyertai beberapa pertandingan seperti Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) dan terbaru Kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah ASEAN (ASG).

Rekod baru kejohanan di ASG 59.65 meter memadamkan rekod lama 47.24m baru-baru ini mengubat kerinduannya untuk beraksi dalam acara tukul besi itu.

"Tahun ini tiada pertandingan kompetitif peringkat tinggi. Saya mahu memberi fokus kepada pelajaran dan selepas peperiksaan SPM baru saya akan memikir hala tuju seterusnya.

"Biarpun begitu, saya masih meneruskan latihan seperti biasa, berlatih bersama cikgu di Sarawak dan jika ada perkara yang menimbulkan keraguan saya akan berhubung dengan jurulatih Gu Yuan untuk meminta pendapatnya," katanya.

Tahun lalu atlet berusia 17 tahun itu melakarkan rekod baru kejohanan di temasya Sukan SEA Kuala Lumpur seawal balingan pertama.

Dia melakukan balingan sejauh 59.24m untuk memadamkan rekod kejohanan lama milik Mingkamon Koomphon dari Thailand iaitu 56.57m yang dicipta di Sukan SEA Singapura 2015.

Bagaimanapun dia memutuskan untuk tidak terbabit secara serius dalam acara itu tahun ini kerana perlu memberi fokus kepada SPM.

Grace bagaimanapun bertekad untuk bangkit kembali tahun depan dengan fokus utama pastinya mempertahankan emas yang dimenanginya di Sukan SEA Filipina.

Berita Harian X