Ahad, 8 Julai 2018 | 6:16pm
JURULATIH pecut negara, Mohd Poad Md Kassim. - Foto Rasul Azli Samad
JURULATIH pecut negara, Mohd Poad Md Kassim. - Foto Rasul Azli Samad

Kuartet 4x100m gagal pecah rekod di Jerman

 

KUALA LUMPUR: Tanpa kehadiran jurulatih Mohd Poad Md Kassim ke Jerman nyata memberi kesan kepada prestasi kuartet 4x100m negara.

Kuartet negara terdiri daripada Muhammad Haiqal Hanafi sebagai pelari pertama Jonathan Nyepa, Zulfiqar Ismail dan Khairul Hafiz Jantan sekadar menamatkan aksi di kedudukan keempat dengan catatan 40.29 saat.

Kejohanan Weinheim Classic di Jerman itu menyaksikan acara 4x100m dikuasai sepenuhnya pelari tuan rumah yang menguasai tiga kedudukan podium.

Juara, Jerman 1 mencatat masa 38.82s diikuti Jerman 2, 39.05s dan tempat ketiga Jerman bawah 23, 40.22s.

Sementara itu Poad sudah menjelaskan pendiriannya bahawa tidak akan ke Jerman untuk bersama anak didiknya atas beberapa faktor.

Kesukaran untuk mendapatkan cuti dan kekangan masa antara penyebab utama beliau menolak ke Jerman selain komitmen lain yang perlu dilunaskan.

"Saya tetap memantau perkembangan mereka dari sini. Saya akan berkomunikasi menerusi Whatapps sementara jurulatih M Balamurugan akan menjaga mereka di sana," katanya.

Kuartet 4x100m negara perlu mencatat kepantasan 39.08s iaitu catatan tempat keempat di Sukan Asia, Incheon, Korea Selatan pada 2014 untuk layak ke Sukan Asia.

Rekod kebangsaan acara ini, 39.27s dirakamkan Haiqal, Jonathan, Nixson Kennedy dan Badrul Hisyam Abdul Manap di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

Sementara itu pelari 110m lari berpagar negara, Rayzam Syah Wan Sofian meraih pingat gangsa di kejohanan yang sama selepas merekodkan 13.90s.

Emas dimenangi John Alexander (13.62s) dan perak diraih Bayer Maximilian (13.82s).

Jonathan yang turut beraksi dalam acara 100m merekodkan 10.36s dalam final B dan Zaidaul Husniah Zulkifli tempat kelapan dengan catatan 11.64s.

Berita Harian X