X
Rabu, 27 Jun 2018 | 9:18pm
Jurulatih pecut negara, Mohd Poad Md Kassim. - Foto Rasul Azli Samad
Jurulatih pecut negara, Mohd Poad Md Kassim. - Foto Rasul Azli Samad

Saya akan pergi kalau 'terbang' awal - Poad

KUALA LUMPUR: Jurulatih pecut negara, Mohd Poad Md Kassim mengesahkan pihak Majlis Sukan Negara (MSN) sedang berusaha bagi membolehkan dirinya 'diterbangkan' lebih awal ke Eropah.

Ini bagi membolehkan pengemudi sepenuh masa skuad olahraga Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail, Bandar Penawar, Johor itu bersama skuad kebangsaan bagi menyertai latihan dan pertandingan di luar negara.

Berdasarkan perancangan awal, Mohd Poad dijadualkan ke Eropah pada 20 Julai ini namun tarikh itu disifatkannya sudah lewat memandangkan anak didiknya termasuklah Khairul Hafiz Jantan sudah berlepas ke luar negara, malam semalam.

"Saya sudah berhubung dengan pihak MSN dan wakil mereka memaklumkan sedang berusaha membawa saya ke Eropah lebih awal berbanding tarikh asal iaitu 20 Julai. 

"Kalau ada perubahan tarikh saya akan sertai latihan dan pertandingan di Eropah. Jika tidak, saya akan tarik diri kerana akan ada kerugian dari segi masa dan perbelanjaan.

"Saya sebenarnya bersetuju dengan perancangan menghantar atlet ke luar negara tetapi ia perlu dibuat sejak awal, apatah lagi Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia berlangsung sebelum bulan puasa, jadi sempat untuk proses memohon cuti," kata Mohd Poad ketika dihubungi, hari ini.

Berdasarkan jadual, skuad olahraga negara bertolak ke Jerman, semalam dan akan berada di luar negara bagi menjalani latihan serta pertandingan sehingga 3 Ogos ini sebagai persiapan ke temasya Sukan Asia, Indonesia.

Mengulas lanjut, Mohd Poad menjelaskan buat masa ini dia akan berhubung mengenai program dengan Khairul Hafiz dan kuartet 4x100 meter (m) menerusi aplikasi WhatsApp.

"Saya akan berhubung dengan Khairul Hafiz serta pasukan 4x100m. Setakat ini saya sudah serahkan program untuk dijalankan kerana kejohanan awal yang dijadualkan disertai adalah pada 6 Julai depan.

"Tetapi ada sedikit kesukaran apabila jarak jauh kerana pemantauan perlu dilakukan apatah atlet masih lagi muda, ia bukan mudah namun saya ada meminta pertolongan daripada M Balamurugan," kata Mohd Poad.

Selain Khairul Hafiz, lima lagi atlet yang tersenarai ialah Muhammad Haiqal Hanafi, Muhammad Zulfiqar Ismail, Nixson Kennedy dan Jonathan Nyepa serta pelari pecut wanita, Zaidatul Husniah Zulkifli.

Berita Harian X