Selasa, 26 Jun 2018 | 5:20pm
JURULATIH olahraga negara, M Balamurugan
JURULATIH olahraga negara, M Balamurugan

Kuartet cari peluang layak kategori A

KUALA LUMPUR: Sekurang-kurangnya tiga siri pertandingan bakal disertai kuartet 4x100 meter (m) lelaki negara di Eropah bagi membolehkan mereka layak ke Sukan Asia menerusi kategori A.

Jurulatih olahraga negara, M Balamurugan berkata pihaknya tidak mahu mensia-siakan peluang terbaik itu sebelum semua atlet yang disenaraikan beraksi di Indonesia, Ogos ini.

Kuartet 4x100m lelaki yang terpilih ke Eropah membabitkan Khairul Hafiz Jantan, Muhammad Haiqal Hanafi, Muhammad Zulfiqar Ismail, Nixson Kennedy dan Jonathan Nyepa serta pelari pecut wanita, Zaidatul Husniah Zulkifli.

"Kita memang mengharapkan atlet menampilkan prestasi terbaik kerana Sukan Asia kini hanya berbaki dua bulan lagi.

"Ada banyak pertandingan menunggu di Jerman, jadi apabila saya tiba di sana nanti, akan ada jurulatih menanti kami dan perbincangan akan dilakukan secara bersama. Ini bagi menilai terlebih dulu standard pertandingan sebelum menyertainya.

"Kami berada di Jerman dalam tempoh empat minggu, jadi kita sasarkan sekurang-kurangnya tiga pertandingan untuk disertai, terutamanya 4x100m. Ini kerana fokus utama kita adalah hendak memastikan atlet layak beraksi dalam kategori A," kata Balamurugan, ketika dihubungi, hari ini.

Kuartet 4x100m perlu mencatatkan kepantasan 39.08 saat iaitu catatan tempat keempat acara itu di Sukan Asia, Incheon, Korea Selatan pada 2014.

Rekod kebangsaan acara ini 39.27s yang dirakamkan Haiqal, Jonathan, Nixson dan Badrul Hisyam Abdul Manap di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

Mengulas lanjut, Balamurugan menjelaskan jumlah pertandingan itu dianggap memadai bagi mengelakkan kecederaan tatkala tarikh ke Sukan Asia semakin hampir.

Katanya, meskipun menyasarkan persembahan terbaik ditonjolkan serta konsisten, Balamurugan berharap mereka tidak mencapai kemuncak prestasi terlalu awal kerana tujuan utama adalah Sukan Asia.

Skuad olahraga negara dijadual bertolak malam ini (Selasa) ke Eropah bagi menjalani latihan dan pertandingan sehingga 3 Ogos, sebelum beraksi di Sukan Asia pada 18 Ogos hingga 2 September nanti.

Berita Harian X