Ahad, 10 Jun 2018 | 9:47pm
LUQMANUL Hakim Khairul Akmal, Muhammad Ilham Suhaimi, Saiful Safwan Saifuddin dan Abdul Wafiy Roslan meraih pingat gangsa.
LUQMANUL Hakim Khairul Akmal, Muhammad Ilham Suhaimi, Saiful Safwan Saifuddin dan Abdul Wafiy Roslan meraih pingat gangsa.

Kuartet 4x4 raih gangsa di Jepun

KUALA LUMPUR: Kuartet 4x400 meter (m) negara melakar pencapaian membanggakan apabila berjaya memperbaharui rekod remaja kebangsaan berusia 30 tahun dengan catatan 3 minit 09.60s dalam Kejohanan Olahraga Remaja Asia ke-18 di Gifu, Jepun, hari ini.

Catatan masa itu membolehkan kuartet dibarisi Luqmanul Hakim Khairul Akmal, Muhammad Ilham Suhaimi, Saiful Safwan Saifuddin dan Abdul Wafiy Roslan meraih pingat gangsa.

Emas milik kuartet dari Sri Lanka yang mencatat kepantasan 3:08.70 sementara perak menjadi milik Thailand (3:09.20).

Sebelum ini rekod remaja kebangsaan adalah 3:12.45 milik gandingan Patrick Khoo Ghee Wong, Edward Jaipal, John Petruse dan Sean Paul yang dicipta di Singapura pada September 1988.

Mengulas mengenai kejayaan berkenaan, jurulatih olahraga negara, Mohd Poad Md Kassim berkata dia berpuas hati dengan prestasi ditampilkan dalam acara berpasukan 4x400m itu.

"Alhamdulillah dengan kejayaan ini. Walaupun Saiful baru saja baik daripada kecederaan ketika Terbuka Malaysia lalu, dia berjaya membantu pasukan negara.

"Saya berpuas hati walaupun atlet hanya tidak berpuasa sewaktu kejohanan tetapi mereka dapat menunjukkan prestasi yang baik.

"Sebagai jurulatih, saya berharap agar atlet remaja dapat diberi lebih banyak peluang untuk berlatih dan bertanding di luar negara," kata Mohd Poad, ketika dihubungi, hari ini.

Berita Harian X