Jumaat, 8 Jun 2018 | 10:11pm
MUHAMMAD Zulfiqar Ismail meraih gangsa dalam acara pecut 100 meter pada Kejohanan Olahraga Remaja Asia ke-18 di Gifu, Jepun, hari ini. - Foto ihsan jurulatih
MUHAMMAD Zulfiqar Ismail meraih gangsa dalam acara pecut 100 meter pada Kejohanan Olahraga Remaja Asia ke-18 di Gifu, Jepun, hari ini. - Foto ihsan jurulatih

Zulfiqar raih gangsa di Jepun

 

KUALA LUMPUR: Muhammad Zulfiqar Ismail membuktikan dirinya antara yang terbaik bagi mewarisi kehebatan Khairul Hafiz Jantan apabila meraih gangsa dalam acara pecut 100 meter (m) pada Kejohanan Olahraga Remaja Asia ke-18 di Gifu, Jepun, hari ini.

Atlet berusia 19 tahun itu yang tampil buat pertama kali dalam kejohanan berprestij itu merakam kepantasan 10.46 saat, sekali gus mengekalkan catatan peribadi terbaik miliknya.

Sebelum ini Zulfiqar melakukan catatan sama ketika Kejohanan Olahraga All Comers FTKLAA yang berlangsung di Stadium Mini Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, Mac lalu.

Ketika kejohanan sama di Ho Chi Minh, Vietnam, pada 2016, Khairul Hafiz meraih emas dengan masa 10.36s menewaskan Ippei Takeda dari Jepun (10.41s) dan Abdullah Abkar Mohammed dari Arab Saudi (10.45s).

Namun pada aksi berlangsung di Stadium Gifu Nagaragawa kali ini, gelaran raja pecut menjadi milik Lalu Muhammad Zohri dari Indonesia dengan catatan 10.27s, sementara perak diraih Daisuke Miyamoto dari Jepun (10.35s).

Jurulatih negara, Mohd Poad Md Kassim menyifatkan kejayaan dilakar Zulfiqar adalah pencapaian yang baik memandangkan ia adalah kemenangan pertama antarabangsa pertama atlet berkenaan.

"Syukur Alhamdulillah atas kejayaan ini. Saya sangat berpuas hati kerana Zulfiqar masih baru lagi bersama saya, iaitu sejak pertengahan tahun lalu.

"Ini adalah kemenangan pertama peringkat remaja bagi Zulfiqar. Walaupun kami menghadapi beberapa cabaran semasa ke sini, tetapi Alhamdulillah dia berjaya membawa pingat gangsa untuk negara," kata Poad.

Berita Harian X