Jumaat, 18 Mei 2018 | 4:48pm
JURULATIH negara, Mohd Poad Md Kassim. - Foto Rasul Azli Samad

Teruskan latihan pada Ramadan

KUALA LUMPUR: Skuad olahraga diseru mengekalkan prestasi serta tidak 'mengelat' ketika menjalani latihan meskipun pada Ramadan.

Peringatan itu diberikan jurulatih negara, Mohd Poad Md Kassim terutama kepada atlet yang akan menyertai Kejohanan Olahraga Remaja Asia ke-18 di Gifu, Jepun pada 7 hingga 10 Jun ini.

Sepanjang bulan puasa, semua atlet di bawah kendalian Poad menjalani latihan kira-kira jam 9 malam hingga 11.30 malam selain sesi pemanas badan di sebelah petang.

"Kita meneruskan aktiviti seperti biasa, iaitu sesi memanaskan badan pada jam 5.30 petang dan latihan pada waktu malam bermula pada jam 9 malam.

"Ia juga sebagai persiapan untuk atlet yang akan menyertai Kejohanan Olahraga Remaja Asia, jadi mereka perlu bekerja keras dan bersungguh-sungguh.

"Hanya atlet yang tidak ada kejohanan pada waktu ini dikawal prestasi," kata Poad ketika mengulas mengenai perjalanan latihan atlet di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) sepanjang Ramadan, hari ini.

Mengulas lanjut, Poad berkata, meskipun atlet tidak dapat memberikan sepenuh tenaga, namun dia menjangkakan  prestasi akan menjadi lebih baik selepas tamatnya Ramadan.

Seramai tujuh atlet di bawah kendalian Mohd Poad diberi kepercayaan menyertai kejohanan di Jepun yang dijadual berlangsung pada hujung Ramadan.

Mereka adalah Muhammad Haiqal Hanafi, Muhammad Zulfiqar Ismail, Abdul Wafiy Roslan, Saiful Safwan Saifuddin, Luqman Nur Hakim Khairul Ajmal, Ilham Suhaimi dan Muhammad Aiedel Saadon.

Berita Harian X