Khamis, 5 April 2018 | 7:08pm
UFL menjanjikan ganjaran kepada dua dutanya jika cemerlang pada Sukan Komanwel di Gold Coast.
UFL menjanjikan ganjaran kepada dua dutanya jika cemerlang pada Sukan Komanwel di Gold Coast.

UFL tawar ganjaran untuk Nauraj, Khairul Hafiz

KUALA LUMPUR: Yakin dengan kemampuan Nauraj Singh Randhawa dan Khairul Hafiz Jantan, Universal Fitness & Leisure (UFL) menjanjikan ganjaran kepada dua dutanya itu jika cemerlang pada Sukan Komanwel di Gold Coast yang sedang berlangsung.

Pengarah Urusan UFL, Datuk Radha Krishnan berkata, pengedar barangan sukan terkemuka tanah air itu menjanjikan ganjaran sebagai kesinambungan penajaan terhadap dua atlet olahraga itu sejak Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur (KL2017).

"Nauraj menjadi tumpuan ramai dalam menghasilkan pingat, namun jika dia memecahkan rekod kebangsaan yang dilakukannya pada Terbuka Singapura tahun lalu (2.30 meter), kita akan memberikan ganjaran dan kita juga akan memberi ganjaran tambahan jika dia berjaya memenangi pingat.

"Bagi Khairul pula, kita tahu pelumba muda itu akan mempunyai saingan sengit tetapi untuk berlaku adil terhadapnya, kami akan turut memberikan ganjaran kepadanya jika dia dapat membaiki catatan masa yang dilakukan pada KL2017 (10.38 saat)," katanya selepas sidang media kejohanan memancing, Cabaran Surfcasting Antarabangsa Igloo 2018 di Wisma UFL di sini hari ini.   

Namun katanya, jumlah ganjaran secara terperinci masih belum diputuskan dan akan dimaklumkan kelak.

Untuk rekod, kontrak jaguh lompat tinggi negara, Nauraj dan juga pelari pecut, Khairul dilantik sebagai duta UFL bakal berakhir sehingga hujung tahun ini.

Terdahulu, Radha berkata, UFL menerusi produk kotak penyejuk terbaik dunia, Igloo bekerjasama dengan Wakjati Event Management menganjurkan kejohanan memancing pada 6 Mei di Pantai Remis, Kuala Selangor dengan hadiah keseluruhan berjumlah RM165,000 menjadi rebutan peserta.

"Kami menjangkakan 2,000 peserta termasuk dari Singapura, Thailand malah Indonesia akan turut serta dalam kejohanan kali pertama dianjurkan ini," katanya.

Berita Harian X