KUALA LUMPUR: Atlet baling tukul besi wanita negara, Grace Wong Xiu Mei membuka tirai hari ketiga acara olahraga dengan khabar gembira apabila berjaya meraih pingat emas buat skuad negara, sebentar tadi.
Lebih mengujakan, Grace Wong turut memperbaharui rekod temasya apabila membuat catatan 59.64 meter dalam acara final yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil itu.
Dia melakar rekod baru temasya dwitahunan itu pada balingan pertama sekali gus memberi amaran awal kepada pesaing lain.
Rekod lama temasya sebelum ini adalah 56.57m milik atlet Thailand, Mingkamon Koomphon yang dilakukan pada Sukan SEA 2015 di Singapura.
Dalam saingan akhir acara baling tukul besi wanita, semua peserta diberikan peluang membuat enam kali balingan bagi mencari pemenang.