Jumaat, 11 Ogos 2017 | 7:01am
WAYDE Van Niekerk. - Foto AFP.

Guliyev lebur harapan van Niekerk acara 200m dunia

LONDON: Impian Wayde van Niekerk mengikut jejak legenda, Michael Johnson meraih dua gelaran dunia acara 200 meter (m) dan 400m hancur,l ketika pelari bukan pilihan kelahiran Turki, Ramil Guliyev menguasai acara final 200m.

Kemenangan Guliyev mungkin tidak mengikut skrip dimahukan penganjur selepas Justin Gatlin yang bersalah atas penggunaan doping sebanyak dua kali, menang acara 100m buat mengecewakan perpisahan Usain Bolt.

Bagaimanapun dalam dua lagi final, Amerika Syarikat menang kedua-duanya.

Christian Taylor menang gelaran dunia ketiganya dalam acara lompat kijang dengan pencabarnya, Will Claye meraih perak sama seperti dilakukannya dalam dua Olimpik sebelum ini.

Bagaimanapun, juara 400m berpagar Olimpik, Dalilah Muhammad gagal menambah emas kejohanan dunia ketika dia diatasi rakan senegara, Kori Carter, pelari berusia 25 tahun yang kurang diberi perhatian.

Van Niekerk, yang menang acara 400m awal minggu ini membalas tanggapan mereka yang memperkecilkan pencapaiannya.

"Ramai orang yang merasakan saya tidak berhak," kata pelari berusia 25 tahun yang menampilkan persembahan hebat pada Olimpik tahun lalu untuk menang acara 400m dengan rekod dunia.

"Saya bekerja keras sama seperti pencabar lain. Saya tidak rasa saya mendapat penghormatan sepatutnya saya terima selepas 400m (menang emas) tetapi ia hanya permulaan dan saya akan menunjukkan dominasi saya."

Ketika kemenangan Guliyev disahkan dalam saingan sengit 200m, kedengaran ejekan daripada sebahagian penonton.

"Ia bukanlah mengejutkan. Saya mahu menang dan tahun ini saya rasakan ia boleh dilakukan dan saya melakukannya," kata Guliyev. "Ya, saya percaya kepada diri sendiri."

- AFP

Berita Harian X