Selasa, 8 Ogos 2017 | 6:38am
USAIN Bolt. - Foto EPA

Usain Bolt sah sertai 4x100 meter

LONDON: Usain Bolt akan berlari dalam saringan 4x100 meter (m) buat Jamaica Sabtu ini walaupun masih lesu selepas sekadar menang gangsa acara final 100m Kejohanan Dunia IAAF, hujung minggu lalu.

Bolt berkata, biasanya dia berlari dalam acara 200m individu tetapi memilih untuk tidak bersaing pada jarak berkenaan di London, yang juga kejohanan utama terakhir sebelum dia bersara dan pelari berusia 30 tahun itu mahu bersaing dalam acara berganti-ganti kali ini.

"Kita akan lihat, kami masih belum melakukan pertukaran baton bersama pelari lain, tetapi saya rasa kami sudah bersedia," kata pemenang pingat emas 11 kali Kejohanan Dunia itu mengenai peluangnya.

"Saya sudah bercakap dengan Julian Forte (pelari separuh akhir 100m) sedikit sebanyak. Saya tidak banyak bercakap dengan pelari muda, jadi apabila ia berkaitan dengan pertukaran baton, saya sentiasa teruja untuk berlari dalam acara berganti-ganti dan kita lihat apa yang sudah disediakan dan mahu dilakukan mereka."

Hanya Yohan Blake pelari berpengalaman lain dalam acara itu buat Jamaica yang pernah menang pingat di Kejohanan Dunia atau Olimpik.

"Secara fizikal saya OK, ada sedikit sakit tetapi tiada yang tidak boleh diubati dengan urutan, saya boleh lakukan," kata Bolt mengenai keadaan dirinya dua hari selepas menamatkan saingan di tangga ketiga walaupun menyamai catatan masa terpantas musim ini 9.95 saat dalam final 100m.

"Sedikit kecewa tetapi hidup memang seperti itu," kata pemenang lapan pingat emas Olimpik itu.

"Saya sudah melakukan yang terbaik seperti selalu, keluar ke sana dan memberikan sepenuhnya dan saya gembira berada di sini dan tidak sabar menantikan 4x100," kata pemegang rekod dunia 100m dan 200m yang membantu Jamaica menang empat gelaran terakhir 4x100 dunia. - Reuters

Berita Harian X