KUALA LUMPUR: Pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor, Kasma Daniel Kasmayudin cemerlang apabila menjuarai kategori CP150 pada pusingan keempat Kejuaraan Cub Prix Malaysia di Litar Permotoran Terengganu, hari ini.
Kasma yang bermula di petak ketiga memecut di selekoh terakhir untuk menjadi pelumba pertama melintasi garisan penamat dengan catatan masa 16 minit 30.494 saat (s).
Tempat kedua dimenangi rakan sepasukan Kasma, Nazirul Izzat Md Bahauddin manakala pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing, Ahmad Afif Amran ketiga.
"Bagi saya, litar ini tidak begitu teknikal. Saya hanya mengekalkan momentum saya sepanjang perlumbaan agar kekal di tempat ketiga teratas.
"Pada lap terakhir, saya memanfaatkan sepenuhnya peluang yang ada untuk memintas dan untuk menguasai tempat pertama," katanya selepas tamat perlumbaan.
Sementara itu, kategori CP125 pula menyaksikan pelumba YYPang Yamaha Racing, Md Fareez Afeez Abd Rahman merekodkan kejuaraan pertamanya musim ini dengan catatan masa 13:03.786s.
Tempat kedua menjadi milik Md Haziq Md Hamdan dari pasukan Honda KC Racing manakala pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor, Md Syafiq Rosli ketiga.
"Strategi saya adalah untuk kekal konsisten sepanjang perlumbaan. Saya berikan fokus sepenuhnya dan sentiasa memerhatikan masa agar saya dapat mempertahankan kedudukan saya.
"Saya berterima kasih kepada pasukan saya yang telah bertungkus-lumus untuk kejayaan ini," katanya.
Perlumbaan kategori Wira KBS pula di ungguli pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha – 31 Racing, Md Danish Aiman Zamrul diikuti dua rakan sepasukannya, Md Adam Haikal Jahar dan Md Syamil Amysar Md Iffende dengan masing-masing menamatkan perlumbaan di tempat kedua dan ketiga.