Selasa, 19 April 2022 | 4:19pm
Aksi Jazeman (depan) pada Pusingan 1 Kejuaraan Siri Le Mans Eropah (ELMS) 2022 di Litar Le Castellet, Perancis minggu lalu.
Aksi Jazeman (depan) pada Pusingan 1 Kejuaraan Siri Le Mans Eropah (ELMS) 2022 di Litar Le Castellet, Perancis minggu lalu.

Jazeman raih motivasi terbaik

KUALA LUMPUR: Penamat ke-15 dalam klasifikasi keseluruhan pasukan dan kelima klasifikasi Pro Am bagi kelas LMP2 di Pusingan 1 Kejuaraan Siri Le Mans Eropah (ELMS) 2022 di Litar Le Castellet, Perancis hujung minggu lalu memberi motivasi berguna buat pemandu negara, Jazeman Jaafar.

Jazeman yang mewakili pasukan Virage berkata, dia bersama pasukan akan membawa pengalaman berharga itu untuk mengharungi pusingan seterusnya terutama di Pusingan 2 yang dijadual berlangsung di Litar Imola, Itali pada 15 Mei ini.

"Walaupun mengalami insiden pada perlumbaan, ada banyak perkara positif untuk diambil pada perlumbaan hujung minggu lalu," kata pemandu berpengalaman negara berusia 29 tahun itu.

Mengulas lanjut, Jazeman yang bakal mengharungi musim penuh bersama pelumba Perancis, Gabriel Audry serta pelumba Amerika Syarikat, Rob Hodes itu berkata, pasukan mempunyai potensi untuk mengharungi pusingan seterusnya dengan berada di kedudukan lebih baik berbanding di Perancis.

"Kami adalah sebuah pasukan, kereta dan barisan yang baharu tetapi penamat kelima dalam Pro Am memberikan kami motivasi untuk mahukan lebih banyak lagi pada pusingan akan datang di Imola.

"Kami sepasukan mempunyai potensi untuk berada di hadapan," kata Jazeman selepas pasukannya kini berada di tangga kelima dengan 10 mata berharga dalam klasifikasi pasukan LMP2 Pro Am.

Selepas berakhirnya Pusingan 1, pasukan Racing Team Turkey mendahului klasifikasi berkenaan dengan 25 mata manakala AF Corse (Itali) berada di kedudukan kedua dengan 18 mata.

Pasukan dari Perancis, TDS Racing X Vaillante menduduki tempat ketiga dengan 15 mata manakala Nielsen Racing (Great Britain) keempat, 12 mata.

Musim 2022 bakal menyaksikan enam pusingan berlangsung antaranya di litar terkemuka di Perancis, Itali, Sepanyol dan Belgium.

Berita Harian X