Jumaat, 15 April 2022 | 5:34pm
Pelumba negara, Jazeman Jaafar. - Foto ihsan Jazeman Jaafar
Pelumba negara, Jazeman Jaafar. - Foto ihsan Jazeman Jaafar

Keyakinan Jazeman meningkat sebelum ke Perancis

KUALA LUMPUR: Pelumba negara, Jazeman Jaafar mengakui tahap keyakinannya semakin meningkat menjelang perlumbaan European Le Mans Series (ELMS), di Le Castellet, Perancis, pada Ahad ini selepas mencatatkan keputusan positif dalam sesi ujian yang berlangsung selama dua hari.

Jazeman, 29, akan beraksi dalam musim penuh bagi kategori Pro-Am Le Mans Prototype 2 (LMP2) di perlumbaan berkenaan bersama pasukan Virage. Dia akan bergandingan bersama pelumba Perancis, Gabriel Audry serta pelumba Amerika Syarikat, Rob Hodes bagi siri perlumbaan di lima negara itu.

"Kami melalui program ujian dua hari yang sangat baik menerusi simulasi sesi kelayakan dan perlumbaan penuh.

"Kami juga dapat menguji beberapa gaya pemanduan berbeza untuk mendapatkan persediaan yang baik dan saya amat gembira dengan perkembangan ini.

"Saya fikir ia akan menjadi pembelajaran baharu bagi kami kerana perlumbaan ini akan menjadi sangat kompetitif. Kami akan cuba memberi saingan sengit dan dapatkan keputusan yang terbaik," katanya.

Selain Perancis, perlumbaan ELMS itu akan turut berlangsung di Itali, Sepanyol, Belgium dan Portugal.

Berita Harian X