Rabu, 30 March 2022 | 6:58pm
Pelumba WithU Yamaha RNF MotoGP Team (WYRMT), Darryn Binder (kiri) ketika menyertai GP Indonesia di Litar Antarabangsa Mandalika, Lombiok, baru-baru ini.
Pelumba WithU Yamaha RNF MotoGP Team (WYRMT), Darryn Binder (kiri) ketika menyertai GP Indonesia di Litar Antarabangsa Mandalika, Lombiok, baru-baru ini.

WYRMT sasar pencapaian lebih baik di GP Argentina

KUALA LUMPUR: Litar Termas de Río Hondo bakal menjadi lokasi seterusnya buat pasukan WithU Yamaha RNF MotoGP Team (WYRMT) dan Grand Prix (GP) Argentina hujung minggu ini tentunya bakal memberi satu lagi cabaran berbeza.

Selepas meraih keputusan bercampur baur di GP Indonesia 20 Mac lalu, pasukan yang dimiliki Datuk Razlan Razali itu pastinya mengharapkan hasil lebih baik di Argentina apatah lagi pelumba rookie, Darryn Binder berjaya meraih penamat dalam kelompok 10 terbaik di Litar Mandalika.

"Dengan Mandalika menyajikan keputusan baik dari Darryn yang berada di tempat ke-10 dan satu perlumbaan mengecewakan oleh Andrea (Dovizioso) susulan jentera M1 menghadapi masalah elektronik, kami kini perlu 'reset' semula dan bersiap sedia untuk Argentina.

"Kami sudah lama tidak ke sana dalam tempoh dua tahun ini dan kami tidak pasti dengan keadaan trek serta keadaan sekelilingnya di sana. Untuk Darryn, ini adalah kali pertama dia menunggang YZR-M1 di sana dan bagi Andrea juga, dia sudah lama tidak beraksi di sana.

"Oleh itu, tentunya ia akan menjadi sesuatu yang menarik. Kami akan terus berusaha gigih buat pelumba kami sebagai sebuah pasukan. Kami akan reset semula, bekerja dari awal dan melihat apakah yang boleh kami pertingkatkan," kata Razlan.

Di GP Indonesia, Darryn menamatkan perlumbaan di tempat ke-10 dan kini mendahului carta pelumba rookie terbaik dengan enam mata, mengatasi pelumba Tech3 KTM Factory Racing, Remy Gardner dengan kelebihan lima mata.

Dalam klasifikasi 'Independent Team', WithU Yamaha RNF MotoGP Team kini berada di tangga keempat daripada enam pasukan, mengumpul lapan mata manakala Gresini Racing MotoGP mendahului carta dengan 30 mata.

Berita Harian X