Isnin, 28 March 2022 | 12:26pm
Aksi Azlan Shah Kamaruzaman pada Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand, hujung minggu lalu. - Foto ihsan FB Azlan Shah Kamaruzaman/Shazli Shamsuddin
Aksi Azlan Shah Kamaruzaman pada Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand, hujung minggu lalu. - Foto ihsan FB Azlan Shah Kamaruzaman/Shazli Shamsuddin

Azlan tak bimbang permulaan perlahan kempen ARRC

KUALA LUMPUR: Walaupun permulaan kempen 2022 tidak berjalan lancar, juara bertahan kelas ASB1000 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC), Azlan Shah Kamaruzaman berkata ia bukan sesuatu yang membimbangkan.

Azlan atau turut dikenali dengan julukan 'The Pirate' berkata, kalendar kejuaraan bagi musim 2022 masih panjang dan ruang penambahbaikan tetap ada di setiap pusingan perlumbaan.

"Permulaan yang sukar untuk kempen 2022," katanya yang berjaya menamatkan Perlumbaan 2 Pusingan 1 ARRC di Litar Antarabangsa Chang, Thailand semalam dengan berada di tempat keenam untuk mengumpul 10 mata berharga.

Penamat dalam kelompok yang menjanjikan kutipan mata sememangnya diharapkan pelumba ONEXOX BMW TKKR Team itu selepas mengalami isu teknikal pada Perlumbaan 1, sehari sebelum itu.

"Apapun kami berjaya meraih penamat keenam (Perlumbaan 2) dan meraih beberapa mata berharga. Musim yang masih panjang dan akan sentiasa berusaha dengan gigih. Terima kasih kepada pasukan yang sentiasa berusaha gigih untuk mencari pelarasan motosikal dan kami akan terus meningkat dari semasa ke semasa," kata Azlan.

Dengan berakhirnya Pusingan 1, Azlan kini berkongsi 10 mata bersama Kasma Daniel Kasmayudin (Yamaha Racing Team ASEAN) dengan masing-masing berada di tangga ke-10 dan ke-11 keseluruhan.

Pelumba negara, Zaqhwan Zaidi dari pasukan Honda Asia-Dream Racing with SHOWA mendahului carta keseluruhan ASB1000 dengan 45 mata selepas memenangi Perlumbaan 1 dan berada di tempat kedua di Perlumbaan 2.

Pusingan 2 dijadual berlangsung di laman sendiri di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dari 27 hingga 29 Mei ini dan Azlan pastinya tidak sabar untuk kembali menggegarkan pentas saingan.

"Selepas ini di Sepang... ayuh berikan mereka saingan," kata Azlan yang sebelum ini turut pernah meraih dua gelaran Asia dalam kelas SuperSports600, masing-masing pada 2013 dan 2017.

Berita Harian X