Ahad, 27 March 2022 | 4:51pm
Afif (kiri berdiri) meraikan kejayaan bersama pasukannya. Foto ARRC
Afif (kiri berdiri) meraikan kejayaan bersama pasukannya. Foto ARRC

Afif tawan Litar Antarabangsa Chang

KUALA LUMPUR: Lagu Negaraku sekali lagi berkumandang di Litar Antarabangsa Chang, Thailand apabila pelumba negara, Ahmad Afif Amran dari pasukan Cardinals Racing Team Malaysia memenangi Perlumbaan 2 kelas Underbone150 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC), hari ini.

Afif yang tampak begitu teruja untuk kembali bersaing di ARRC selepas dua tahun tergendala disebabkan pandemik COVID-19, 'memecut laju' meninggalkan kelompok depan pada tiga baki pusingan terakhir sebelum menemui garisan penamat dengan catatan keseluruhan terpantas 16 minit 34.083 saat (s).

Menamatkan perlumbaan di tempat kedua adalah pelumba ONEXOX TKKR Racing Team, Wahyu Aji Trilaksana (16:37.136s) manakala Murobbil Vithoni dari pasukan LFN HP969 Indonesia Racing Team melengkapkan pentas podium di tempat ketiga (16:37.357s).

"Alhamdulillah, terima kasih kepada pasukan yang sudah berusaha sehabis baik pada minggu ini. Kini kami sudah menemui pelarasan terbaik dan hasilnya, kami meraih keputusan yang baik pada Perlumbaan 2 ini.

"Di Perlumbaan 2, saya sudah merancang untuk terus memecut dari satu ke satu pusingan perlumbaan sehingga ke garisan penamat. Selepas dua tahun tidak berlumba di ARRC dan trek besar, saya berusaha sebaik mungkin untuk dapatkan yang terbaik," kata Afif.

Semalam, lagu Negaraku turut berkumandang dalam kelas ini apabila pelumba negara, Md Izzat Zaidi Md Salehan (Pitsbike JRT OneWay) memenangi Perlumbaan 1 dengan catatan keseluruhan terpantas, 16:43.348s.

Begitupun, nasib tidak memihak kepada Izzat pada Perlumbaan 2 apabila menamatkan saingan di tempat ke-10 dengan catatan 16:38.096s.

Berita Harian X