Jumaat, 25 March 2022 | 6:10pm
Ketua Pegawai Eksekutif Sepang International Circuit (SIC), Azhan Shafriman Hanif. - Foto NSTP/Owee Ah Chun.
Ketua Pegawai Eksekutif Sepang International Circuit (SIC), Azhan Shafriman Hanif. - Foto NSTP/Owee Ah Chun.

GP Malaysia PETRONAS 2022 kekal pusingan kedua terakhir

KUALA LUMPUR: Grand Prix (GP) Malaysia PETRONAS 2022 tetap akan kekal menjadi pusingan kedua terakhir dalam kalendar Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP), kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Azhan Shafriman Hanif.

Beliau menyifatkan kedudukan kedua terakhir itu sangat bertepatan memandangkan status gelaran juara kebiasaannya ditentukan pada dua pusingan terakhir.

Katanya, ia secara tidak langsung akan menarik tumpuan peminat sukan permotoran dua roda untuk menyaksikan perlumbaan di Litar Antarabangsa Sepang sekali gus menjadikan ia sebagai satu pusingan yang dinanti-nantikan dalam kalendar MotoGP.

"Kita sentiasa menjadi kedua terakhir dalam kejuaraan," kata Shafriman. "Ketika berbincang mengenai kontrak untuk kita sambung, kita nak kekal sebagai pusingan kedua terakhir.

"Salah satu sebab untuk kekal, kebiasaannya kejuaraan dimuktamadkan sama ada di pusingan kedua terakhir ataupun di pusingan kemuncak musim. Jadi orang ramai akan datang melihat, mengikuti kejuaraan di sini sebab kita berada di kedudukan unik, pusingan kedua terakhir sebelum pusingan terakhir di Valencia."

Pada awal GP Malaysia dianjurkan di Litar Antarabangsa Sepang iaitu 1999, Malaysia menjadi lokasi bagi perlumbaan pembuka tirai musim sebelum diubah menjadi venue bagi pusingan kedua pada tahun berikutnya.

Kedudukan itu sekali lagi bertukar kepada pusingan kedua terakhir pada musim 2001 dan Litar Antarabangsa Sepang menjadi lokasi ketiga terakhir bagi musim 2002 sehingga 2004 sebelum menjadi venue kelima terakhir pada 2005 dan 2006.

GP Malaysia kemudiannya menjadi lokasi kedua terakhir dalam kalendar kejuaraan MotoGP dari 2007 hingga 2009 sebelum menjadi venue keempat terakhir pada 2010 dan kembali menjadi tuan rumah bagi pusingan kedua terakhir pada 2011.

Pada tahun berikutnya, GP Malaysia diletakkan sebagai tuan rumah bagi venue pusingan ketiga terakhir sebelum menjadi lokasi keempat terakhir pada 2013 dan kembali kepada kedua terakhir pada 2014 dan kekal sehingga 2019.

Pandemik COVID-19 menyaksikan dua edisi GP Malaysia terpaksa dibatalkan pada 2020 dan 2021 dan pada tahun ini Litar Antarabangsa Sepang sekali lagi menjadi lokasi kedua terakhir dari 21 hingga 23 Oktober ini dengan kalendar musim 2022 turut menyaksikan GP Indonesia kembali dianjurkan selepas 25 tahun, minggu lalu.

"Kita takkan tukar posisi kita kepada (pusingan) yang lain. Kita juga meminta untuk dijauhkan dari (Litar) Mandalika (GP Indonesia) kerana kita tak mahu kesan sama seperti Formula Satu (F1) yang menyaksikan pusingan berturut-turut dengan Singapura sebelum ini.

"Pada ketika itu, kita kehilangan ramai penonton apabila menjadi lokasi bagi pusingan berturut-turut. Ia tak begitu teruk ketika menjadi pusingan kedua F1 selepas Australia dan apabila ditukar kepada September (dengan Singapura), kita hilang ramai penonton.

"Ini disebabkan orang ramai tidak akan datang untuk perlumbaan berturut-turut kecualilah mereka itu peminat tegar dan untuk itu, kita takkan tukar, kita kekal (menjadi lokasi kedua terakhir MotoGP)," kata Shafriman.

Berita Harian X