Rabu, 23 March 2022 | 11:12pm
Kontrak SIC anjur MotoGP dilanjut hingga 2024.
Kontrak SIC anjur MotoGP dilanjut hingga 2024.

SIC kekal dalam kalendar MotoGP hingga 2024

KUALA LUMPUR: Litar Antarabangsa Sepang (SIC) kekal dalam kalendar Kejuaraan Dunia Grand Prix Motosikal (MotoGP) sehingga 2024 dengan PETRONAS terus menjadi penaja utama perlumbaan itu.

Pemegang hak MotoGP Dorna Sports ketika mengumumkan pusingan di Malaysia akan dikenali sebagai Grand Prix PETRONAS Malaysia mulai tahun ini memaklumkan semua pihak terlibat sudah pun berbincang untuk melanjutkan perjanjian hingga 2026.

Sejak 1999, SIC menjadi litar kegemaran peminat dan juga pelumba dengan dua laluan lurus panjang, gabungan selekoh berbeza-beza dan kompleks grandstand utama yang menakjubkan, serta telah mementaskan 20 GP.

Selepas perlumbaan musim 2020 dan 2021 dibatalkan berikutan pandemik COVID-19, perlumbaan tahun ini dijadual berlangsung pada 21-23 Oktober.

Ketua Pegawai Eksekutif Dorna Sports Carmelo Ezpeleta berkata Malaysia adalah pasaran penting MotoGP dan ia adalah satu keseronokan untuk berlumba di Sepang dan menyaksikan keghairahan luar biasa peminat yang memenuhi tempat duduk grandstand.

"Selepas terbukti dapat kembali ke Malaysia untuk ujian pramusim tahun ini, kami lebih bersemangat untuk kembali dan berlumba. Kami semua menantikan Grand Prix Malaysia dan melihat peminat kami di Malaysia untuk banyak musim lagi.

"Kami juga berbangga dapat menjalinkan kerjasama dengan PETRONAS, jenama yang sinonim dengan kecemerlangan dan kejayaan, dan duta hebat untuk Malaysia di persada dunia.

"Tiada yang lebih baik sebagai penaja utama untuk Grand Prix Malaysia selain daripada satu nama yang menjadi lambang dalam sukan permotoran. Kami tidak sabar untuk melihat jenama ikonik ini mendapat pengiktirafan teratas pada acara itu," katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SIC Azhan Shafriman Hanif mengucapkan penghargaan kepada mereka yang menjadikan lanjutan kontrak berkenaan menjadi kenyataan.

"Dengan rekod penonton yang dicatatkan sentiasa meningkat setiap tahun, kami tidak sabar untuk menyambut kedatangan penonton kembali ke Sepang selepas dua tahun tidak dapat berbuat demikian berikutan pandemik. Selaras dengan tema kami #WelcomeHome, tahun ini adalah mengenai kebangkitan sukan permotoran antarabangsa dengan tawaran lebih unik kepada peminat," tambahnya.

Pengurus Besar Kanan Komunikasi Strategik Kumpulan PETRONAS Datin Anita Azrina Abdul Aziz berkata syarikat minyak itu amat berbesar hati untuk menaja gelaran untuk GP Malaysia, yang dianggap sebagai acara sukan utama di Malaysia dan Asia.

"Penajaan utama menawarkan peluang untuk kepada Petronas untuk berhubung dengan peminat sukan itu dan mempamerkan jenama serta produk kami," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X