Isnin, 21 March 2022 | 4:04pm
Aksi Binder ketika GP Indonesia semalam.
Aksi Binder ketika GP Indonesia semalam.

Razlan terkejut prestasi Binder

KUALA LUMPUR: Prestasi dipamerkan pelumba rookie, Darryn Binder di perlumbaan Grand Prix (GP) Indonesia semalam jelas mengejutkan prinsipal pasukan WithU Yamaha RNF MotoGP Team, Datuk Razlan Razali.

Binder yang memasuki kelas MotoGP dari kelas Moto3 sebelum ini mampu menamatkan perlumbaan di litar baharu, Mandalika selain berjaya mengatasi situasi perlumbaan yang berlangsung di permukaan litar basah dengan menemui garisan penamat di tempat ke-10.

Menurut Razlan, Binder yang bermula dari barisan belakang sudah menunjukkan kemampuan untuk memberikan saingan kepada kelompok handalan biarpun kempen 2021 baharu saja memasuki pusingan kedua.

"Saya hanya boleh katakan 'wow'," kata Razlan.

"Itu satu tunggangan rookie (pelumba baharu) yang menakjubkan berada di tempat ke-10, bersaing dengan ramai pelumba lebih pantas. Kemampuannya menunggang dalam hujan sangat menakjubkan dan kami sangat gembira untuknya."

Atas kejayaan itu, Binder kini mendahului senarai carta rookie terbaik dengan enam mata manakala Remy Gardner dari pasukan Tech3 KTM Factory Racing, berada di tempat kedua, satu mata sebelum GP Argentina menjadi lokasi bagi Pusingan 3 pada 3 April ini.

"Kami akan menikmati detik ini bersama Darryn, yang mendahului carta rookie dan kemudian kami akan ke Argentina," kata Razlan mengenai pencapaian pelumbanya itu yang turut membantu pasukan kini berada di tempat keempat daripada enam pasukan dalam klasifikasi 'Independent Team'.

Binder menamatkan perlumbaan yang dimenangi Miguel Oliveira (Red Bull KTM Factory Racing) itu dengan catatan 34 minit 124 saat manakala seorang lagi pelumba pasukan, Andrea Dovizioso tidak menamatkan saingan disebabkan masalah elektronik.

"Malangnya, dia mengalami masalah elektronik dan memaksanya untuk menarik diri. Sekiranya tidak, dia dapat melakukan dengan baik di kedudukan ke-11. Saya fikir, dia mampu melakukan sesuatu yang lebih baik sekiranya tidak mengalami isu ini," kata Razlan.

Berita Harian X