Rabu, 16 March 2022 | 7:11pm
President Indonesia, Joko Widodo (dua kiri) berbual dengan pelumba MotoGP Repsol Honda Team, Marc Marquez dan pelumba lain ketika bertemu di perkarangan Istana Merdeka, Jakarta, Indonesia, hari ini. Indonesia akan menjadi tuan rumah perlumbaan MotoGP di Litar Mandalika, Lombok pada 18 hingga 20 Mac ini. Pasukan WithU Yamaha RNF MotoGP adalah antara pasukan yang bakal berentap dalam perlumbaan berkenaan. - Foto EPA.
President Indonesia, Joko Widodo (dua kiri) berbual dengan pelumba MotoGP Repsol Honda Team, Marc Marquez dan pelumba lain ketika bertemu di perkarangan Istana Merdeka, Jakarta, Indonesia, hari ini. Indonesia akan menjadi tuan rumah perlumbaan MotoGP di Litar Mandalika, Lombok pada 18 hingga 20 Mac ini. Pasukan WithU Yamaha RNF MotoGP adalah antara pasukan yang bakal berentap dalam perlumbaan berkenaan. - Foto EPA.

WithU Yamaha RNF MotoGP sudah sedia gegar Mandalika

KUALA LUMPUR: Pasukan WithU Yamaha RNF MotoGP sudah bersedia mengharungi perlumbaan di Litar Mandalika, Lombok, Indonesia yang buat pertama kalinya disenaraikan dalam kalendar Kejuaraan Motosikal Dunia, hujung minggu ini.

Selepas 25 tahun, GP Indonesia kembali di litar baharu berkenaan selepas kali terakhir dianjurkan pada 1997 di Litar Antarabangsa Sentul, Bogor, Jawa Barat sekali gus memeriahkan lagi saingan terutama di Asia Tenggara.

Bagi prinsipal pasukan, Datuk Razlan Razali, suasana kehangatan sudah dirasai oleh barisan pasukan serta seluruh warga MotoGP yang pada 11 Februari lalu menjalani ujian rasmi pra musim di trek sepanjang 4.3 kilometer (km) itu.

"Dalam beberapa hari lagi, roda akan berputar untuk grand prix sulung di Lombok," kata Razlan. "Sudah 25 tahun sejak Kejuaraan Motosikal Dunia dianjurkan di Indonesia, yang menjadi antara pasaran terbesar di Asia Tenggara dan negara polulasi keempat paling tinggi di dunia.

"Penerimaan MotoGP di sini sangat menakjubkan, dan itu sudah dirasai kami ketika ujian. Sudah tentu, minggu perlumbaan bermula pada Rabu (hari ini) dengan pra acara di Jakarta dengan perarakan yang diketuai presiden Indonesia di ibu kota Jakarta membabitkan 20 pelumba di kelas tertinggi. Saya fikir, ini adalah masa tepat untuk menyambut kehadiran MotoGP.

"Mengenai pelumba kami, kami sudah menjalani ujian di Litar Mandalika beberapa minggu yang lalu. Saya fikir dengan permukaan litar yang diperbaiki, kami perlu menilai semulanya ketika sesi latihan bebas pada Jumaat.

"Apapun, tahniah kepada Indonesia kerana menganjurkan MotoGP semula buat kali kali pertama dalam tempoh 25 tahun. Kami amat menantikannya dan ia pastinya menjadi sesuatu yang menarik."

Pada Pusingan 1 yang berlangsung di Litar Antarabangsa Losail, Qatar 6 Mac lalu, pelumba pasukan, Andrea Dovizioso menamatkan perlumbaan di tempat ke-14 manakala pelumba rookie, Darryn Binder menemui garisan penamat di tempat ke-16.

Perlumbaan pertama musim itu dimenangi pelumba Gresini Racing MotoGP, Enena Bastanini manakala Brad Binder (Red Bull KTM Factory Racing) berada di tempat kedua. Melengkapkan pentas podium adalah pelumba Repsol Honda Team, Pol Espargaro.

Berita Harian X