Isnin, 7 March 2022 | 6:31pm
Aksi Andrea Dovizioso (04) dan Darryn Binder (40) di GP Qatar awal pagi tadi.
Aksi Andrea Dovizioso (04) dan Darryn Binder (40) di GP Qatar awal pagi tadi.

Razlan puas hati prestasi Dovizioso, Binder

KUALA LUMPUR: Grand Prix (GP) Qatar yang melabuhkan tirainya semalam menyaksikan pasukan MotoGP persendirian tempatan, WithU Yamaha RNF MotoGP Team memperoleh keputusan yang memuaskan.

Pelumba utamanya, Andrea Dovizioso berjaya menamatkan perlumbaan di tempat ke-14 sekali gus memperoleh dua mata berharga manakala pelumba rookie (baharu), Darryn Binder hampir menamatkan saingan di Litar Antarabangsa Losail dalam kedudukan 15 terbaik sebelum kalendar musim 2022 beralih ke Litar Mandalika, Indonesia, 20 Mac ini.

Bagi pemilik dan prinsipal pasukan, Datuk Razlan Razali, dia gembira dengan keputusan diraih dua pelumbanya itu terutama Binder yang mampu memberikan cabaran kepada pelumba lain.

"Saya fikir ia satu hari perlumbaan yang baik buat kami," kata Razlan.

"Kami sangat gembira dengan apa yang dilakukan Darryn bersaing dengan kesemua pelumba rookie sebelum tewas kepada Remy (Gardner) yang juga juara dunia Moto2.

"Tentunya penamat dengan mata adalah sesuatu yang lebih baik namun pengalaman menamatkan perlumbaan dengan persaingan sesama rookie adalah lebih berharga berbanding satu mata.

"Terdapat banyak potensi yang dilihat daripada Darryn pada perlumbaan akan datang. Untuk Andrea pula, dia perlu mencari jalan untuk melakukan sesuatu yang lebih baik.

"Daripada maklum balas yang diberikannya, terdapat ruang untuk dia meningkat pada perlumbaan seterusnya. Secara keseluruhan, kami gembira dapat menamatkan hujung minggu ini dengan beberapa mata, kami akan menantikan perlumbaan seterusnya."

Enea Bastianini dari pasukan Gresini Racing MotoGP memenangi perlumbaan dengan catatan terpantas 42 minit 13.198 saat manakala Brad Binder (Red Bull KTM Factory Racing) berada di tempat kedua, 42'13.544s.

Melengkapkan pentas podium adalah Pol Espargaro dari pasukan Repsol Honda Team, 42'14.549s.

Dovizioso melengkapkan 22 pusingan perlumbaan dengan catatan 42'40.572s manakala Binder yang diangkat dari kelas Moto3, menamatkan kemunculan sulungnya dalam kelas perdana, 42'54.317s.

Selepas perlumbaan di Qatar, WithU Yamaha RNF MotoGP Team kini berada di kedudukan kelima daripada enam pasukan dalam klasifikasi 'Independent Team'.

Berita Harian X